Pemuda ini menceritakan Ibu jadi ‘korban’ demi selamatkan pesakit COVID-19

Pemuda ini menceritakan Ibu jadi ‘korban’ demi selamatkan pesakit COVID-19

APA perasaan anda jika anggota keluarga sendiri menjadi ‘korban’ demi menyelamatkan pesakit COVID-19?

Tanpa kita sedari, situasi yang semakin kritikal di hospital seluruh negara sebenarnya memberi impak kepada mereka yang bertarung dengan pelbagai masalah kesihatan yang lain.

Kisah menyayat hati itu dikongsikan seorang pengguna Twitter, Wan Mohamad Nazri Hashim, yang mendedahkan ibunya merupakan salah seorang yang terpaksa ‘berkorban’ demi memberi laluan kepada pesakit COVID-19 menerima rawatan.

Kata Wan Mohamad Nazri, ibunya, Raja Nahzar Hasnah Raja Mahmud menghidap penyakit batu karang, namun, terpaksa menunggu untuk menjalani pembedahan kerana jadual doktor yang penuh.

Sebulan bertahan, ibunya kemudian dibawa ke wad kecemasan sebuah hospital di ibu negara susulan jangkitan kuman dalam darah dan paru-paru.

Namun apa yang menyedihkan, biarpun pernafasan ibunya kritikal, dia tidak boleh diberikan bantuan ventilator kerana bekalannya yang terhad dan digunakan pesakit COVID-19.

“Mak aku pun tengah kritikal. Tapi disebabkan ward ICU semua dah penuh dengan pesakit COVID, machine dah tak cukup. Dan faktor umur mak yang dah berusia serta faktor dalaman mak.

“Mereka tak dapat bagi machine ventilator tu sebab katanya mak aku memang dah tak ada harapan. Doktor pun tak boleh nak lakukan procedure untuk buang nanah dalam hempedu mak disebabkan pernafasan mak tak berapa baik.

“Jadi mereka tunggu sehari ke sehari. Masukkan antibiotik dengan harapan pernafasan mak aku menjadi baik supaya boleh teruskan dengan procedure tu.

“Aku tengok mak aku guna oksigen yang hospital bagi, pam guna tangan sendiri secara manual bila terasa sesak nafas,” ceritanya.

Umpama berhadapan dengan dua mangsa lemas dan hanya salah seorang boleh diselamatkan.

Mungkin itulah dilema yang dihadapi pengamal perubatan ketika ini, yang mungkin tidak difahami kita sebagai orang luar yang hanya memerhati.

“Sekarang ni keadaan di hospital dah berada di tahap di mana mereka kena pilih pesakit mana yang nak diselamatkan dahulu.

“Antara pesakit normal dan COVID-19, sudah tentulah mereka utamakan pesakit COVID-19.

“Kalau kes kematian banyak, report akan sampai ke KKM. Bila report kematian COVID-19 naik mendadak, mereka akan kena soal sebab report tu semua orang tengok. Orang akan panik.

“Pesakit normal macam mak aku siapa nak tengok? Yang lebih utama adalah pesakit COVID-19 sebab setiap hari update akan keluar,” ujarnya.

Dua minggu berjuang, ibunya akhirnya menghembuskan nafas terakhir 19 Mei lalu.

“Aku sendiri tengok mak aku tak cukup nafas. Dan aku sendiri lihat bagaimana nafas itu terhenti. Sumpah perasaan sebak tu tak boleh nak imagine.

“Apa pun aku bersyukur mak aku negatif COVID. Sekurang-kurangnya aku dapat jadi imam solatkan mak aku.

“Dapat teman mak aku naik van, mandikan, sampailah kali terakhir aku masukkan mak aku sendiri dalam liang lahad,” ceritanya lagi.

Tambahnya, dia berkongsi kisah itu kerana mahu orang ramai sedar impak COVID-19 ketika ini bukan hanya kepada mereka yang dijangkiti virus berkenaan.

Tidak menyalahkan sesiapa, sebaliknya, Wan Mohamad Nazri mahu masyarakat sedar sistem kesihatan negara kini cukup lelah dan setiap individu perlu mengambil peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam menghadapi ‘peperangan’ ini.

“Doktor pun tak cukup sekarang dekat hospital. Ramai dah kena transfer untuk jadi frontliner. Untuk pesakit pesakit normal, doktor yang nak treat mereka juga berkurangan.
“Satu nasihat aku. Jangan tunggu jenis vaksin apa yang available. Jangan jadi anti vaksin. Apa yang ada, ambil dahulu,” katanya menutup cerita.

 

 

Berita Penuh:https://www.astroawani.com/berita-malaysia/ibu-jadi-korban-demi-selamatkan-pesakit-covid19-299777

COMMENTS