Pemuda ini dedah gaji pengutip sampah di Singapura melebihi gaji eksekutif muda di Malaysia

Pemuda ini dedah gaji pengutip sampah di Singapura melebihi gaji eksekutif muda di Malaysia

Warganegara Malaysia, Muhammad Khidir Samsudin bersama rakan sekerjanya, Mohd Yuamirul Che Yusoff menjadi tumpuan media sosial baru-baru ini kerana memulangkan peranti iPad Pro milik seorang wanita Singapura yang dijumpai dalam tong kitar semula.

Pada 2 Dis lalu, Michelle Lim merakam penghargaannya di Facebook kepada mereka berdua dan melampirkan mesej daripada pemuda itu untuk memaklumkan penemuan peranti itu yang hilang setahun lalu.

Apa yang menarik perhatian Bernama selain sifat baiknya ialah, pemuda lebih selesa dipanggil Eday, 25, memperkenalkan dirinya sebagai “pengutip sampah” kepada wanita itu dalam mesej tersebut.

Pemegang Ijazah Pembangunan Sains dari Universiti Kebangsaan Malaysia yang berasal dari Batu Pahat, Johor itu ketika dihubungi Bernama berkata, tidak salah menimba pengalaman dari bawah dalam sektor pengurusan sisa.

“Ini menjadikan saya lebih memahami proses kerja dan lebih menghargai orang bawahan saya satu hari nanti,” katanya yang berhasrat menimba pengalaman di republik ini selama 3 tahun dan bersyukur kerana mendapat restu ibu bapanya.

Ditanya mengapa tidak melakukan kerja sama di Malaysia, Eday mengakui pendekatan serampang dua mata itu juga mengambil kira kelebihan mata wang Singapura yang lebih kukuh ketika ini.

“Apa yang saya dapat di sini setiap hujung bulan melebihi gaji eksekutif muda di Malaysia. Lagipun, untuk menjadi eksekutif di Malaysia, ia memerlukan pengalaman kerja sekurang-kurangnya 3 tahun.

“Sekiranya saya kembali ke Malaysia satu hari nanti, saya boleh menceritakan saya mempunyai pengalaman bekerja dalam syarikat asing juga,” katanya yang kini bekerja di SembWaste Pte Ltd, sebahagian daripada Sembcorp Group, sebuah kumpulan tenaga, pembangunan bandar dan marin terkemuka.

Eday berkata, SembWaste bukan majikan pertamanya kerana di Malaysia, beliau membuat banyak kerja sambilan, termasuk guru sementara di Batu Pahat sambil berniaga kecil-kecilan berkaitan pakaian maskot.

Sementara itu, Lim yang merasakan Eday dan Yuamirul, 26, berhak mendapat “pekerjaan lebih memuaskan” juga menitip nota tambahan dalam catatannya di media sosial.

“Mereka muda, rajin dan paling penting, jujur dan rendah hati. Saya juga mengetahui mereka pemegang ijazah, boleh bertutur dan menulis dengan baik. Kedua-dua pemuda ini boleh melakukan sesuatu yang sesuai dengan kebolehan mereka, sila kongsi (hantaran ini),” tulisnya.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/12/05/graduan-malaysia-jadi-pengutip-sampah-di-singapura-curi-tumpuan-media-sosial/

COMMENTS