Pemimpin Umno tidak yakin k’jaan PN mampu raih pendapatan untuk Belanjawan 2021

Pemimpin Umno tidak yakin k’jaan PN mampu raih pendapatan untuk Belanjawan 2021

Kemampuan kerajaan memperoleh pendapatan atau hasil tahun depan bagi menampung unjuran Belanjawan 2021, yang baru dibentangkan kelmarin dilihat tidak meyakinkan ketika banyak syarikat menutup operasi dan ramai rakyat kehilangan pekerjaan.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, walaupun Belanjawan 2021 dilihat baik dengan banyak inisiatif diberikan bagi membantu rakyat, timbul persoalan sama ada andaian pendapatan tersebut mampu dicapai.

Ujar beliau, agak mustahil pendapatan kerajaan melalui hasil cukai korporat dan individu bertambah begitu banyak pada tahun depan, menjadikan andaian pendapatan bagi Belanjawan 2021 agak tidak meyakinkan.

“Kita tahu semua syarikat sekarang mengalami masalah, banyak yang akan tutup. Syarikat besar dan syarikat pe­nerbangan semua mengalami masalah. Syarikat dalam Khaza­nah dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) juga masalah, kita kurangkan juga cukai individu sebanyak satu peratus.

“Orang banyak kena buang kerja, siapa yang nak bayar cukai? Bagi saya andaian untuk mendapat pendapatan yang banyak daripada cukai korporat dan individu itu kurang meyakinkan. Bila nak kutip, nak (dapat) duit daripada mana? Saya tidak kata tidak menyokong belanjawan ini namun saya tidak yakin daripada segi pendapatan, keseluruhannya memang ia boleh membantu rakyat,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berkata demikian selepas menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir kilat di sekitar Rantau, di sini semalam.

Sementara itu, Mohamad berkata, Belanjawan 2021 yang dibentangkan kelmarin adalah satu belanjawan untuk kerajaan menang dalam pilihan raya akan datang.

“Mana-mana kerajaan buat belanjawan untuk menang pilihan raya. Mana ada kerajaan buat belanjawan untuk kalah dalam pilihan raya? Waima Pakatan Harapan (PH) buat belanjawan juga adalah untuk menang piihan raya dan memikat hati rakyat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Berita penuh : https://www.utusan.com.my/nasional/2020/11/pendapatan-kerajaan-untuk-belanjawan-2021-tidak-meyakinkan/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=pendapatan-kerajaan-untuk-belanjawan-2021-tidak-meyakinkan

COMMENTS