Pemimpin parti STAR didakwa terlibat kes gangguan seksual peserta ratu cantik Unduk Ngadau

Pemimpin parti STAR didakwa terlibat kes gangguan seksual peserta ratu cantik Unduk Ngadau

Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menggantung keahlian seorang ahli yang didakwa terlibat dalam kes gangguan seksual membabitkan peserta Unduk Ngadau.

Setiausaha Agungnya, Senator Datuk Guan Dee Koh Hoi berkata, setakat ini, dua laporan polis terhadap seorang ahli parti tular dalam media sosial membabitkan dakwaan kes cabul terhadap peserta pertandingan ratu cantik tersebut.

Satu laporan lagi membabitkan perlakuan kasar individu tersebut terhadap pengawal keselamatan di kompeks Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Penampang.

Susulan laporan itu, STAR Sabah memutuskan untuk menggantung jawatan individu tersebut selaku penyelaras Parlimen P173 Putatan.

“STAR adalah parti yang berperlembagaan dan segala perkara hendaklah diselesaikan mengikut perlembagaan parti.

“Tindakan seterusnya, sama ada menggantung keahlian atau memecat beliau dari STAR akan diputuskan selepas persidangan lembaga disiplin parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Keputusan yang dibuat kepimpinan STAR ini menunjukkan keterbukaan parti dalam mendengar keluhan dan aduan daripada pelbagai pihak.

Dalam pada itu, Guan Dee menasihatkan semua ahli dan penyokong STAR agar bertenang dan tidak membuat sebarang tindakan yang akan mengeruhkan lagi keadaan.

Sejak pagi tadi, tular dalam media sosial berhubung laporan polis yang dibuat oleh salah seorang peserta pertandingan berkenaan pada 21 Mei berhubung dakwaan dicabul oleh ahli jawatan kuasa penganjur yang juga ahli STAR.

Dalam laporan itu, mangsa mendakwa menaiki kenderaan individu tersebut untuk makan malam dan individu terbabit bertindak meraba kedua-dua bahagian paha, belakang badan, leher dan tangan mangsa.

Cubaan mangsa menepis perbuatan individu tidak diendahkan, sebaliknya perbuatan itu diteruskan sepanjang perjalanan

Berita Penuh :https://www.utusan.com.my/berita/2021/06/star-gantung-keahlian-pemimpin-terlibat-gangguan-seksual/

COMMENTS