PATI serang PGA di sempadan negara mati ditembak

PATI serang PGA di sempadan negara mati ditembak. Seorang lelaki warga asing dipercayai tekong yang membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI ) mati akibat terkena tembakan ketika cuba menyerang anggota keselamatan di pangkalan haram berhampiran Jeram Perdah, di sini, jam 1.40 awal pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata ketika kejadian anggota daripada Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) terserempak sekumpulan PATI sedang menyeberang sungai dari Thailand ke Malaysia.

Katanya, anggota kemudian cuba menahan kumpulan berkenaan sebelum suspek yang berusia lingkungan 30 an, dengan tiba-tiba bertindak agresif dengan menyerang anggota menggunakan parang.

“Anggota terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah sisi kiri suspek untuk mempertahankan diri daripada serangan berkenaan. Dia kemudian dibawa ke Hospital Pasir Mas ( HPM) untuk mendapatkan rawatan.

“Namun begitu, suspek disahkan meninggal dunia pada jam 2.12 pagi tadi oleh pegawai perubatan yang bertugas. Terdapat kesan tembakan di bahu kiri, selain didapati tiada parut Bacillus Calmette-Guerin (BCG) ditemui.

PATI serang PGA di sempadan negara mati ditembak

“Selain itu, pemeriksaan lanjut di kawasan kejadian menemui lima lelaki dan dua wanita warga Myanmar yang tiada sebarangan dokumen perjalanan dan dipercayai masuk ke dalam negara secara haram,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, hasil siasatan mendapati suspek yang meninggal adalah tekong yang bertanggungjawab membawa PATI berkenaan untuk bersembunyi di suatu lokasi sebelum PATI diserahkan kepada individu lain.

“Pihak polis turut membuat rampasan sepucuk pistol Styer bersama peluru dan sebilah parang disyaki milik suspek.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 39 Akta Senjata 1960, Seksyen 55 E dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

BACA:

Bengang order lambat sampai, lelaki ugut rider

Bengkel haram modified motor diserbu polis

Syihan Hazmi, Corbin Ong Hero negara