Pasar di Wu Han punca covid-19, pandemik politik kita pula berpunca dari ‘pasar Langkah Sheraton’ – Mujahid

Pasar di Wu Han punca covid-19, pandemik politik kita pula berpunca dari ‘pasar Langkah Sheraton’ – Mujahid

Assalamualaikum wwbkth

Alhamdulillah, segala puji dan syukur kita panjatkan kepada Allah, serta Salawat dan Salam kita panjangkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Baginda Nabi sebagai Rahmatan Lil Alamin pernah mengingatkan seorang sahabat betapa kita harus bersedia menghadapi kemungkinan-kemungkinan luar jangkaan dan ujian mendatang umpama kapal yang belayar di lautan bergelora yang tidak menentu. Nabi pernah berpesan:

“Wahai Aba Zar…”Pacakkan layar bahtera mu dengan kukuh, sesungguhnya laut itu dalam, perbanyakkan bekalan mu sesungguhnya perjalanannya panjang, kurangkan bebanan baranganmu kerana halangan membesar, hanya pandangan yang tajam dapat melihat segalanya dengan jelas”

Begitulah realiti bajet kita hari ini belayar atas lautan belum diterokai, soalnya apakah bahtera kita dilengkapi dengan persediaan bekalan dan pengemudi yang tajam penglihatannya?

BIASA DALAM KELUARBIASAAN

Bajet 2021 adalah pembentangan yang berlatarkan suasana yang luarbiasa. Dengan latar pendemik global, ekonomi yang terjejas dan krisis politik lokal, kita menjangkakan pembentangan bajet yang luarbiasa, namun jangkaan itu meleset. Ramai rakan MP yang telah menegaskan kenyataan ini termasuk unjuran yang tidak praktikal, keutamaan yang tunggang terbalik serta tiada dasar pemulihan politik dan adaptasi dasar norma baru yang lebih seimbang dan proaktif.

Tuan Yang DiPertua…

PAKSI DWI KRISIS

Saya menamakan bajet 2021 sebagai Bajet Dwi-Krisis yang terbentuk atas 2 paksi utama iaitu, Krisis Pendemik dan Krisis Politik. Walaupun ada yang menyebut krisis ekonomi namun saya menganggap krisis ekonomi adalah sebagai implikasi pendemik dan tidak tegak secara sendiri. Krisis politik pula membentuk paksinya tersendiri dalam ruang legar perebutan kuasa melalui politik belot dan khianat kepada demokrasi dan adab-adabnya. Secara perumpamaannya kita berada dalam keadaan ombak bertindih (maujun min fauqihi mauj) bagi menangani permaslahan yang kritikal ini.

Saya akan tumpukan krisis politik dalam ucapan saya memandangkan isu krisis pendemik telah banyak digarap oleh rakan-rakan yang lain. Lagipun isu pendemik dan segala peruntukan untuk keperluan frontliners tidak dipertikaikan keperluannya, hanya kaedah dan pembaikan sahaja yang dipertikaikan supaya lebih berkesan. Krisis politik sepatutnya menerima sentuhan dalam peluang bajet ini sama berat dan timbangnya dengan krisis pendemik.

Tuan Yang DiPertua..

PENDEMIK POLITIK

Langkah awal kita ialah memperakui terlebih dahulu bahawa kita ada masalah politik kerana menerima hakikat kita bermasalah adalah sebahagian dari proses langkah sembuhan. Terima atau tidak, parahnya krisis politik yang tidak ditangani, telah mengheret negara kepada virus ketidakpercayaan yg tinggi terhadap institusi pemerintahan dan institusi politik termasuk orang politik. Kita mengiktirafi fenomena pendemik penyakit sebagai bahaya kepada nyawa manusia tetapi berapa orangkah yang mengiktirafi bahawa kita juga ada pendemik politik yang mengancam nyawa demokrasi dan kehidupan rakyat?

KANAN POPULIS DAN EKSTRIMISMA

Defisit kepercayaan jika tidak didepani akan melahirkan jurang antara sang rakyat marhaein dan sang elit pemerintah sekaligus membuka ruang kepada lahirnya dua anasir destruktif dalam mempengaruhi arus politik rakyat, iaitu kemaraan politik kanan populis dan kemaraan ekstrim agama dan kaum. Kanan Populis meneguk di air keruh dengan pandangan anti-pemulihan dan anti-dasar-dasar yang progresif serta mengurangkan peranan demokrasi dan undang-undang.

Ekstrim Agama dan Kaum pula akan meningkatkan lagi sentimen bernuansakan agama dan kaum secara destruktif dan menjejaskan hubungan antara kaum dan agama. Negara Malaysia yang terdedah kepada anasir ini berpotensi menggugat kesepaduan dan ketahanan nasional yang sangat diperlukan pada situasi dwi krisis ini.

ANARKIS

Akibat kegagalan kita yang senantiasa berada dalam keadaan penafian, kita khuatir Anarkis akan muncul sebagai alternatif kepada Demokrasi yang kita raikan. Kegagalan mengiktirafi krisis politik juga menyebabkan peranan parti politik serta aktivisnya akan diremehkan dan diperkecilkan menjadi bahan lawak jenaka dan sindiran pedas oleh sebab tiada lagi respek kepada orang-orang politik.

Tuan Yang DiPertua,

MARI SEMBUHKAN NEGARA

Tiba masanya proses sembuhan ‘healing process’ kita lakukan demi Malaysia. Terimalah hakikat bahawa budaya PEMBELOTAN ganti KEMANDATAN mula menular, inilah punca pendemik politik. Kalau pasar di Wu Han adalah punca pendemik covid maka pendemik politik kita pula berpunca dari ‘pasar Langkah Sheraton’. Mereka melakukannya tanpa rasa segan dan silu kepada Mandat Rakyat atas alasan pensejajaran politik yang direka-cipta (fabricated) dan atas nama ‘Penyatuan Terbesar Parti Melayu’ ‘Grand Malay Coalition’ dan dalam proses itu melanggar dan menyakiti Demokrasi. Luka kepada negara dan rakyat berbagai kaum dalam negara ini sangat mendalam jika tidak diubati boleh jadi parah dan maut! Kita memerlukan ‘Pemulihan Terbesar Demokrasi’ hari ini sebagai pensejajaran politik yang hakiki!

Kebobrokan yang membekas telah melahirkan kerajaan yang rapuh dan pentadbiran yang obes melalui saiz kabinetnya. GLC ditawarkan kepada MP umpama dalam pasar Ukaz menawarkan unta-unta gemok kepada pelanggannya. Seronok bawa balik habuan, kabinet yang mandom dan tak hormat SOP, dasar flip-flop dan aksi tagih kesian yang memualkan oleh kerajaan PN adalah simptom krisis politik dan menyumbang kepada kemelesetan kepercayaan rakyat kepada institusi pemerintahan.

Tuan Speaker,

TINDAKAN SEMBUHAN

Seruan Rekonsiliasi, Gencatan Politik, Sokong Bajet dll gesaan positif perlu disambut dalam keadaan penuh sedar dan bukan sekadar retorik. Rekonsiliasi bukan bentuk sekali pemberian sahaja atau one-off mahupun taktikal untuk menguasai lawan, ia adalah proses dengan melihat kepentingan lebih besar negara yang kini sedang parah. Saya mencadangkan beberapa langkah untuk proses sembuhkan negara boleh dilakukan.

1. Pemikiran rentas parti adalah faktor kritikal untuk mencapai kejayaan. Peluang pembentangan bajet 2021 disia-siakan walaupun latar dwi-krisis adalah alasan terbaik untuk membuka proses perundingan bersama. Saya tidak maksudkan hanya rundingan one off tetapi berterusan dan dengan disiplin tertentu dan untuk mencapai objektif tertentu.

2. Fokus kepada Prinsip Besar Menyeluruh (Overarching Principles) yang mengawal dan membentuk perjalanan politik negara. Fokus ini akan mengheret semua pihak kepada kepentingan bersama tanpa prejudis dan yang saya maksudkan Prinsip Besar Menyeluruh ini adalah Kerangka DEMOKRASI yang negara kita pilih sebagai panduan dan petunjuk bagaimana politik, pemerintahan dan rakyat harus bertindak.

3. Mengaktifkan usaha reformasi perundangan dengan melihat akta dan undang-undang yang ada supaya bersesuaian dengan kehendak kita menjalani proses sembuhan yang memerlukan kita kembalikan kepercayaan sesama kita dan sesama rakyat. Salahguna kuasa perlu dikawal ketat dengan lebih berhikmah dalam penggunaan akta-akta yang menindas suara ahli politik dan rakyat. Pihak keselamatan perlu menjadi aparatus menjamin ketenteraman dan keamanan dan bukan aparatus pemerintah yang ada kepentingan politik. Reformasi perundangan ini akan menunjukkan kesungguhan dan kejujuran orang-orang politik memimpin proses penyembuhan politik ini.

4. Kembalikan faktor yang melahirkan KETAHANAN NASIONAL melalui perpaduan rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Inilah masanya perpaduan nasional mendapat suntikan segar melalui pengukuhan Rukun Negara, aktifkan usaha mewujudkan Akta Keharmonian, Suruhanjaya Keharmonian Nasional serta gerakkan aktiviti Dialog Silang Agama yang menyeru kepada keamanan dan mempertahankan kedaulatan negara. Ini juga masanya rakyat dipacu untuk menolak kebencian kaum dan agama yamg diperjuangkan oleh pihak tertentu.

Tuan Speaker,

SURUHANJAYA BEBAS DIRAJA

Inisiatif di atas tidak mungkin datang dari satu pihak tetapi ia adalah usaha secara kolektif sebagai simbol kesatuan kita. Memang perit untuk kita mengakui adanya pembelot di kalangan kita, namun adalah lebih perit jika kita membiarkan budaya pembelotan mengambil alih demokrasi kita tanpa kita melakukan pemulihan demokrasi yang bermakna.

Siapa sahaja yang menjadi pemerintah tidak lagi dipedulikan oleh rakyat, mereka lebih pedulikan apa yang akan dilaksanakan oleh mana-mana pemerintah supaya dapat mengembalikan kepercayaan, meringankan penderitaan rakyat dan menjamin ketenteraman awam dan keselamatan negara. Harapan ini menuntut kepimpinan politik melakarkan masadepan negara melalui pembentukan dasar yang lebih peduli, progresif dan inklusif untuk semua.

Tuan Speaker

Saya ingin mencadangkan supaya satu SURUHANJAYA BEBAS DIRAJA ditubuhkan untuk memandu inisiatif sembuhkan negara dan pulihkan demokrasi yang telah saya gambarkan di atas. Pakej bajet tidak mendapat sentuhan praktikal proses sembuhan politik melainkan retorik kosong dan slogan yang hambar. Saya tidak mempersoalkan keperluan menangani krisis pendemik dalam bajet tetapi saya mempersoalkan komitmen keutamaan yang caca-marba, cara berfikir yang tidak konsisten dengan realiti serta politiking yang mempertaruhkan bajet sebagai komoditi simpati.

Tiba masanya Suruhanjaya Pemulihan Demokrasi dan Rekonsiliasi Negara (SPDRN) atau ‘Commision for Consolidation of Democracy and National Reconciliation’ ditubuhkan. Saya turut mencadangkan tempoh 3 tahun sebelum wajib bubar Parlimen digunakan sebaiknya untuk tujuan di atas dan menganggapnya sebagai FASA PENYEMBUHAN NEGARA bersesuaian dengan usaha memerangi Covid yang kita lawan bersama.

Saya akan menerima bajet ini dengan syarat bajet ini membetuli keutamaan semula untuk rakyat dan menolak duit negara dibazirkan kepada agensi propaganda destruktif JASA. Bajet ini juga tidak ada nilai tambah tanpa komitmen dasar menyeluruh ke arah proses menyelesaikan krisis politik yang semakin membengkak.

Sekian, Terimakasih Tuan Speaker

Yb DS Dr Mujahid Yusof Rawa
P057 Parit Buntar

19hb November 2020

Sumber :

COMMENTS