Pas nampaknya lebih fokus gaji wakil rakyat – NGO

Pas nampaknya lebih fokus gaji wakil rakyat – NGO

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia Cawangan Negeri Kelantan (PKPIM Kelantan) ingin menzahirkan kekesalan atas kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan untuk menaikkan gaji para wakil rakyat di Negeri Kelantan.

Yang Dipertua PKPIM Kelantan dalam kenyataannya berpendapat bahawa keperluan untuk menaikkan gaji wakil rakyat bagi mengurangkan jurang perbezaan gaji dengan wakil rakyat negeri lain adalah tidak munasabah.

“Pihak kerajaan negeri sepatutnya mengutamakan belanjawan bagi menyelesaikan permasalahan rakyat terutama bagi golongan B40 yang terjejas akibat pandemik Covid-19 serta memberi insentif tambahan kepada para petugas barisan hadapan yang sentiasa berdedikasi untuk menjaga rakyat,” kata Muhammad Aqil Iqbal Bin Mohd Zulkiffli.

Katanya, kesan pandemik Covid-19 memperlihatkan ramai pelajar memerlukan bantuan pendidikan oleh kerana keadaan keluarga yang tidak mampu untuk menampung kos pembelajaran.

Selain itu juga, peluang pekerjaan yang lebih luas serta pelbagai khususnya di Negeri Kelantan perlu diwujudkan segera bagi menangani masalah pengangguran yang kian meningkat.

“PKPIM Kelantan juga ingin menggesa agar Belanjawan Negeri Kelantan 2021 wajib diberikan keutamaan dan perhatian kepada bantuan pendidikan di semua peringkat serta peluang pekerjaan bagi rakyat Kelantan khususnya.

“Pemimpin seharusnya menjadi contoh dan teladan yang baik kepada rakyat terutama dalam menjalankan amanah yang telah dipertanggungjawabkan untuk membangunkan rakyat,” kata beliau.

Gaji pokok Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan barisan exco kerajaan negeri Kelantan bakal dinaikkan antara RM3,000 hingga RM5,000 seorang.

Keputusan itu berlaku ketika Kelantan masih negeri termiskin di Semenanjung dan ketiga di Malaysia selepas Sabah dan Sarawak seperti pernah diakui tahun lalu oleh pemimpin Bersatu, Dr Mohd Radzi Md Jidin yang kini Menteri Kanan Pendidikan.

Menurut Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah, kenaikan itu diperlukan bagi mengurangkan jurang perbezaan gaji antara wakil rakyat Kelantan dan negeri-negeri lain.

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/ngo-kelantan-kesal-fokus-pas-kepada-gaji-wakil-rakyat/

COMMENTS