Parti “PUTRA” umum letak calon dalam PRN Melaka

Parti “PUTRA” umum letak calon dalam PRN Melaka

Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (PUTRA) mengumumkan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, keputusan itu dibuat kerana partinya mahu menyelamatkan rakyat daripada permainan politik di negeri berkenaan.

“PUTRA datang ke Melaka untuk menyelamatkan rakyat Melaka akibat permainan politik daripada kedua-dua belah parti politik. PUTRA datang nak selamatkan Melaka,” katanya ketika sidang media di sini hari ini.

Beliau menjangka PUTRA akan bertanding di dua hingga enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

“DUN Melaka ada 28 kerusi, PUTRA terus terang mengatakan tidak akan bertanding sejumlah itu. Kita bertanding sebagai warming up menuju kepada PRU-15, sebagai parti baharu,” tambahnya.

Terdahulu, Ibrahim berkata, keputusan bertanding pada PRN Melaka itu dimuktamadkan menerusi mesyuarat biro politik partinya yang diadakan hari ini.

Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Tok Him menambah, senarai calon telah dikenal pasti namun beliau masih belum membuat keputusan.

Menurutnya, PUTRA mementingkan calon yang bersih daripada pelbagai sudut untuk diketengahkan sebagai pemimpin rakyat.

Beliau turut memaklumkan tidak akan bertanding untuk PRN kali ini kerana fokus untuk bertanding di kerusi Parlimen pada pilihan raya umum akan datang.

“Kita sudah mengenal pasti calon-calon yang akan bertanding, senaraii nama sudah diserahkan kepada Biro Politik dan kita masih lagi memperhalusi senarai calon daripada banyak sudut. Pertama, yang penting, calon yang bersih. Tidak dihujani dengan isu rasuah, maksiat dan sebagainya.

“Prinsip pertama PUTRA dalam meletakkan calon adalah bersih, alangkah baiknya kalau kita ada calon yang bersih dan berpendidikan. Itu bonus,” ujarnya.

Terdahulu, Tok Him mengakui tidak menjangka PRN Melaka tetap diadakan kerana negara masih berperang dengan pandemik Covid-19.

“Sehubungan itu kita tahu di Sarawak pun walaupun DUN terbubar tidak diadakan pilihan raya kerana Covid-19, apakah keputusan mengadakan PRN Melaka ini disebabkan betul-betul kerana kehendak perlembagaan yang perlu diadakan atau ianya lebih merupakan permainan politik?

“Saya tidak dapat pastikan terpulanglah kepada masyarakat untuk menentukan dan memikirkan sebab-sebab PRN Melaka diadakan. Kalau nak tangguh pun boleh, nak teruskan pun boleh. Kita tidak pasti,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya semalam menetapkan 20 November ini sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka manakala penamaan calon pada 8 November.

Sumber | MG

Baca:Tular Wanita ketagih makan abu mayat suami

COMMENTS