Parlimen boleh bersidang, mengapa DUN Melaka tak boleh?, soal Adly

Parlimen boleh bersidang, mengapa DUN Melaka tak boleh?, soal Adly

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil, Adly Zahari menggesa agar kerajaan Negeri Melaka segera mempercepatkan sidang DUN Negeri yang diumumkan akan ditunda pada 9 Disember hadapan.

Beliau berkata, tindakan kerajaan negeri yang menunda tarikh persidangan DUN adalah tidak bertanggungjawab dan tidak menepati kehendak Peraturan Mesyuarat 4(6) Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Melaka.

Bekas Ketua Menteri Melaka itu turut mempersoalkan mengapa persidangan DUN ditunda walhal persidangan Parlimen masih boleh diteruskan seperti biasa.

“Persoalannya mengapa sidang DUN perlu ditangguhkan selama hampir sebulan sedangkan Persidangan Dewan Rakyat tetap diteruskan?

“Selangor adalah contoh terbaik bagaimana persidangan boleh berlangsung ketika arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikeluarkan.

“Tatacara (SOP) boleh dirangka selaras dengan nasihat dan pandangan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, persidangan DUN Melaka yang dijadualkan berlangsung pada semalam hingga 11 November ini telah ditangguhkan kepada 9 hingga 11 Disember depan.

Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Unit Dewan dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MKKN), Ahmad Azlan Ahmad Salleh berkata, keputusan itu susulan Perintah PKPB ke atas negeri itu yang berkuatkuasa selama empat minggu mulai esok hingga 6 Disember.

Sehubungan itu, katanya, tempoh embargo bagi risalat juga telah dipanjangkan kepada 9 Disember ini dan tidak boleh disiarkan sebelum tarikh tersebut.

Sementara itu Adly menegaskan, kerajaan negeri sepatutnya dijadualkan membentangkan Belanjawan 2021 pada sidang DUN kali ini untuk membincangkan urusan pengurusan dan pembangunan bagi kelangsungan rakyat Negeri Melaka.

Justeru katanya, dalam keadaan rakyat kehilangan pekerjaan dan ketidakmampuan membayar hutang, sehingga pengusaha industri kecil dan sederhana terpaksa gulung tikar, maka perlunya perbincangan dan cadangan penyelesaian di dalam persidangan DUN oleh semua ADUN.

“Maka tuntasnya saya menggesa supaya kerajaan negeri mempercepatkan sidang DUN yang ditunda supaya semua ADUN dapat bersidang bagi membincangkan permasalahan rakyat disamping merangka dasar-dasar serta polisi dan inisiatif yang bersifat progresif bagi memastikan belanjawan yang bersifat membantu rakyat dikala Covid-19 dapat dibincangkan secara bersama,” tegasnya lagi.

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/adly-gesa-percepat-sidang-dun-melaka/

COMMENTS