Panas !!! Pemimpin Warisan berang, geran khas Sabah dikurangkan

Panas !!! Pemimpin Warisan berang, geran khas Sabah dikurangkan

Seorang bekas menteri persekutuan Warisan mempersoalkan langkah kerajaan pusat berbalik semula kepada jumlah asal pembayaran geran khas kepada Sabah sebanyak RM26.7 juta.

Ahli Parlimen Penampang, Darell Leiking berkata pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini menggandakan jumlah geran khas kepada RM53.4 juta dalam belanjawan persekutuan yang lalu.

Leiking, yang juga timbalan presiden Warisan berkata, beliau menyedari perkara itu selepas meneliti laporan Belanjawan 2021 yang disediakan kepada semua ahli Parlimen.

“Saya tidak tahu mengapa mereka kekalkan angka lama (pembayaran geras khas kepada Sabah) sejak tahun 1972 yang berjumlah RM26.7 juta, sepatutnya RM53.4 juta sebab kerajaan sebelum ini sudah luluskan jumlah itu,” katanya kepada FMT.

Katanya, beliau tidak dapat memahami mengapa kerajaan sekarang tidak menimbangkan cadangan Jawatankuasa Kabinet mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebelum ini yang kemudiannya disokong oleh Kabinet persekutuan ketika itu.

Katanya, geran khas kepada Sabah dan Sarawak tidak pernah dikaji semula sejak tahun 1972.

Sabah sepatutnya menerima RM53.4 juta untuk 4 tahun akan datang bermula tahun ini, dengan jumlahnya meningkat kepada RM106.8 juta pada tahun ke-5.

“Sekarang kita kembali lagi kepada RM26.7 juta … sepatutnya lebih tinggi atau kekal pada RM53.4 juta,” kata Leiking.

Geran khas itu ditetapkan dalam Perkara 112D perlembagaan persekutuan yang menyebut bahawa Sabah berhak mendapat 40% daripada hasil bersih yang diperolehi kerajaan pusat dari negeri itu.

Sarawak juga menerima kenaikan pembayaran geran khas dalam belanjawan sebanyak RM32 juta.

Leiking juga tidak berpuas hati apabila Putrajaya mengurangkan peruntukan pembangunan kepada Sabah kepada RM5.1 bilion. Kerajaan PH memberikan sebanyak RM5.2 bilion sebelum ini.

“Walaupun mereka peruntukkan sebahagian untuk pembangunan pelancongan, tetapi peruntukan pembangunan kampung budaya tidak diberikan kepada Sabah. Kita juga ada banyak kampung budaya di negeri ini.”

Sementara itu, bekas menteri kesihatan Sabah, Frankie Poon berkata, beliau berharap kerajaan persekutuan akan meningkatkan dana untuk kesihatan di Sabah memandangkan peningkatan kes Covid-19.

“Sabah adalah sebuah negeri yang besar dari segi populasi dan saiz geografi. Dengan ini, Sabah memerlukan banyak dana untuk kesejahteraannya,” kata pemangku ketua DAP Sabah itu.

Ketua Pemuda DAP negeri, Phoong Jin Zhe berkata, selain projek Lebuhraya Pan Borneo, tidak ada yang boleh dibanggakan berhubung projek infrastruktur di Sabah.

“Akan ada projek transit bas rapid (BRT) baru di Johor, tetapi belum di Kota Kinabalu. Pada 2015, bekas perdana menteri Najib Razak mengumumkan BRT akan dibuat di sini,” katanya.

Phoong berkata, menteri pembangunan infrastruktur negeri Bung Moktar Radin perlu membangkitkan perkara itu, selain isu pengurangan peruntukan pembangunan ke Sabah di Parlimen.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/11/07/geran-khas-sabah-dikurang-dalam-belanjawan-kata-ahli-parlimen-warisan/

COMMENTS