Panas !!! MT Umno dijangka buat keputusan luar jangka

Panas !!! MT Umno dijangka buat keputusan luar jangka

Esok Selasa, MT UMNO akan mengadakan mesyuaratnya di Pahang yang akan menentukan sama ada ia terus kekal bersama PN dan Muhyiddin Yassin atau memutuskan untuk keluar daripada kerajaan.

Biro Politik UMNO Rabu lalu telah membuat keputusan untuk menimbang untuk terus berada dalam PN, sambil akan mengemukakan syarat-syarat baru kepada Muhyiddin.

Sementara Muhyiddin meminta UMNO memperincikan syarat-syarat baru yang diminta itu, kemudian terdedah pula surat Zahid Hamidi yang disokong oleh Najib Razak kepada Agong yang menyatakan sokongan mereka kepada Anwar Ibrahim untuk mengambil aih kerajaan.

Walaupun ada jurucakap UMNO yang tidak dinamakan menyatakan surat tersebut adalah palsu, Zahid Hamidi dan Najib tidak pernah menafikannya secara langsung.

Dengan itu, ada yang mengandaikan, mungkin hanya surat yang viral itu saja yang palsu, tetapi isinya adalah asli.

Dalam erti kata lain, sokongan Zahid Hamidi dan Najib yang disertai beberapa Ahli Parlimen UMNO lain untuk Anwar menjadi Perdana Menteri bukanlah perkara tipu.

Susulan untuk memuktamadkan tuntutan UMNO itu, mesyuarat MT UMNO esok tentu saja menjadi tumpuan semua.

Walaupun tidak diketahui secara jelas apakah tuntutan yang diminta UMNO, tetapi diperkatakan secara terbuka antaranya ialah jawatan Timbalan Perdana Menteri, perlantikan menteri UMNO mesti mengikut hireaki mereka dalam parti dan pengguguran beberapa menteri yang tiada jawatan dalam MT serta tidak pernah dicadangkan sama sekali namanya.

Dalam keadaan Muhyiddin tengah tersepit sekarang – ditekan kiri kanan serta depan belakang – adalah tidak mustahil beliau sedia berlembut dan memenuhi segala tuntutan yang diminta UMNO itu.

Yang penting, bagi Muhyiddin jawatan Perdana Menteri kekal dalam tangannya.

Pada mulanya ada perkhabaran mengatakan bahawa rombakan kabinet akan dilakukan hari ini untuk Muhyiddin memenuhi semua kehendak UMNO itu.

Tetapi, khabar terbaru pula mengatakan Muhyiddin akan menunggu sehingga keputusan MT UMNO esok terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang tindakan susulan.

Untuk itu, dikhabarkan Muhyiddin hanya akan merombak kabinet jika MT UMNO esok memutuskan untuk menjadikan tuntutan berkaitan jawatan itu sebagai pendirian rasmi parti.

Persoalannya, apakah jika semua tuntutan UMNO berkaitan jawatan itu dipenuhi Muhyiddin, hubungan parti itu dengan Bersatu akan selesai?

Untuk jangka pendek, ia mungkin boleh dianggap selesai, tetapi dalam jangka panjang, hubungan antara UMNO dengan Bersatu tidak mustahil akan berdepan lebih banyak masalah.

Ini kerana masalah sebenar antara UMNO dengan Muhyiddin dan Bersatu bukan semata-semata tentang pengagihan jawatan semata-mata.

Ia lebih daripada itu, antaranya berkaitan pengagihan kerusi pilihanraya dan jaminan masa depan para pemimpinnya, sedangkan matlamat sebenar Bersatu ditubuhkan adalah untuk menguburkan UMNO.

Walaupun bersama dalam kerajaan, tetapi keinginan dan kecenderungan Bersatu untuk memperlekeh dan membuli UMNO pada hakikatnya tidak pernah terpadam.

Perkara itu dapat dilihat daripada bagaimana Muhyiddin melantik sesetengah menteri daripada UMNO mengikut seleranya sendiri, pengagihan kementerian yang berat sebelah, melindungi menteri tertentu daripada pendakwaan, walaupun jelas ada kesalahan, manakala pembulian paling menonjolkan ialah menamakan Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri dalam PRN Sabah, baru-baru ini.

Ia memberi gambaran, walaupun Muhyiddin sedia berlembut buat sementara waktu, tetapi melalui kuasa yang banyak berpusat di tangannya, tidak menghairankan pembulian dan ketidakadilan akan berulang lagi menjelang PRU15 akan datang.

Yang lebih penting daripada semua itu, oleh kerana Muhyiddin mewarisi parti yang ditubuhkannya bersama Tun Mahathir Mohamad, UMNO sebenarnya hanya akan selamat dalam jangka panjang dengan ia berani memilih untuk berganding dengan rakan baru yang pemimpinnya benar-benar faham apa itu pendakwaan terpilih, pendakwaan politik dan pendakwaan bersifat mala fide. (Shahbudindotcom 19/10/2020)

Berita penuh : https://shahbudindotcom.net/2020/10/19/mt-umno-esok-wajib-buat-keputusan-jangka-panjang-tidak-semata-mata-tentang-jawatan.html

COMMENTS