Panas !!! Menjelang pembentangan Belanjawan hanya 41 ahli parlimen kerajaan, 39 pembangkang dibenar masuk Dewan Rakyat

Panas !!! Menjelang pembentangan Belanjawan hanya 41 ahli parlimen kerajaan, 39 pembangkang dibenar masuk Dewan Rakyat

Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun hanya membenarkan 80 ahli Parlimen memasuki dewan pada satu-satu masa bermula esok dengan waktu persidangan dipendekkan dari 10 pagi hingga 2 petang minggu depan.

Timbalan Speaker Rashid Hasnon yang membacakan peraturan baru itu berkata, 41 daripada 80 kerusi akan diwakili oleh ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dan 39 kerusi oleh pembangkang dan bebas.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan untuk menyekat penyebaran Covid-19 di Parlimen.

Bagaimanapun peraturan baru itu ditentang oleh ahli Parlimen pembangkang kerana berpendapat Dewan Rakyat harus mempunyai rancangan yang lebih baik untuk mengekang Covid-19.

Keputusan baru itu juga akan menyaksikan waktu bersidang Dewan Rakyat dipendekkan dari 89 jam 30 minit kepada 66 jam dan memendekkan perbahasan Belanjawan 2021.

Rashid sebelum itu berkata, pemilihan ahli Parlimen yang menyertai sidang akan ditentukan oleh parti masing-masing dan mereka yang hadir akan diberikan kad khas untuk merekodkan kehadiran

Dalam pada itu, beliau berkata, sesi pertanyaan bagi jawab lisan pada hari Isnin hingga Rabu ialah selama 1 jam dari 10 pagi hingga 11 pagi.

Katanya, hanya 1 soalan tambahan dibenarkan dan soalan mestilah ringkas.

Beliau juga berkata waktu pertanyaan-pertanyaan menteri (MQT) pula ditetapkan pada Selasa dan Khamis selama 5 minit bermula jam 10 pagi.

“Ahli-ahli Parlimen akan membacakan soalan dan menteri berkenaan akan menjawab secara bertulis pada hari yang sama.

“Soalan dan jawapan itu akan disiarkan di portal Parlimen secepat mungkin,” katanya di Dewan Rakyat.

Rashid juga berkata, jumlah hari persidangan mesyuarat ke-3 tahun ini boleh ditambah sebanyak 2 hari, iaitu pada 16 dan 17 Dis jika diperlukan.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Takiyuddin Hassan mengusulkan pemendekkan waktu sidang Parlimen itu bermula 9 November hingga 15 Disember.
Usul itu kemudian diluluskan oleh Rashid selepas lebih ramai suara bersetuju.

Bagaimanapun ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad kemudian mempersoalkan adakah usul itu akan kekal jika negara dapat tangani pandemik Covid-19 dalam 2 minggu akan datang.

“Saya melihat usul itu menunjukkan kerajaan tak mampu tangani pandemik Covid-19 sehingga tak ada kemungkinan ia akan bertambah baik.

“Apa berlaku sekiranya dalam 2 minggu, kes menurun dan jumlah kurang. Adakah akan benar usul baru kembali kepada sistem seperti biasa,” katanya.

Takiyuddin kemudian menjawab usul baru dan usul itu boleh dipinda pada bila-bila masa.

Berita penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/11/05/hanya-80-ahli-parlimen-dibenar-masuk-ke-dewan-rakyat-bermula-minggu-depan/

COMMENTS