Panas !!! ‘Kerjasama’ Anwar dengan pemimpin Umno tanpa perbincangan kecewakan pemimpin PH

Panas !!! ‘Kerjasama’ Anwar dengan pemimpin Umno tanpa perbincangan kecewakan pemimpin PH

Pandemik Covid-19 mencetuskan banyak krisis yang membebankan rakyat dan negara. Dinamika politik berterusan sehingga membuatkan orang ramai muak dan keliru.

Malah, golongan politikus semakin dipandang negatif kerana dianggap hanya mementingkan diri sendiri walaupun ketika masyarakat diancam pelbagai masalah kritikal.

Kumpulan bertentangan boleh berdamai menyusun strategi menumbangkan kerajaan yang dipilih rakyat waktu wabak maut sudah menyerang. Langkah khianat itu tidak dapat dihalang meskipun pengertian moralnya cukup buruk.

Lebih tragis apabila ia disokong oleh sekelompok golongan agamawan. Prinsip-prinsip asas dilanggar hanya kerana ketamakan kuasa.

Kerajaan yang didirikan atas muafakat “pengkhianat-penyangak” itu hanya bermodalkan majoriti cukup tipis, tetapi usaha merebut kembali gagal disempurnakan apabila pembangkang turut dilanda krisis dalaman yang parah dan sulit untuk dirungkai.

Parti-parti dan individu-individu dalam gabungan longgar Perikatan Nasional (PN) tidak berupaya menyembunyikan konflik yang semakin tajam. Secara terbuka kritikan, hatta kecaman, dihamburkan kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Buat pertama kali kita menyaksikan gabungan parti pemerintah secara pintu belakang ini bercakaran dan saling menyerang; tiada sikap pertanggungjawaban dan masa-tenaga dibazirkan demi survival politik.

Bersatu dan Umno kembali “berperang” dan masing-masing rasa dikhianati.

Percakaran di antara Bersatu dan Umno sukar diredakan. Kedua-dua parti yang asalnya bermusuhan ketat dalam PRU14, bersetuju menjadi rakan kongsi atas Langkah Sheraton, tidak menunggu lama untuk kembali “berperang” dan masing-masing rasa dikhianati.

Tumpuan utama adalah meraih sebanyak mungkin pengaruh dan sokongan rakyat dalam PRU15. Umno-Bersatu akan bersaing rapat dalam konstituensi Melayu yang sama dan bercita-cita menjadi parti dominan dalam kerajaan yang bakal dibentuk selepas pilihan raya.

Memang pembubaran Parlimen dan menyerahkan kepada pilihan rakyat dirasakan penyelesaian terbaik kepada dilema berpanjangan ini. Kerajaan yang stabil dan kukuh amat diperlukan untuk melonjakkan negara daripada kancah ketidaktentuan ini.

Ugutan menarik sokongan oleh segelintir wakil rakyat Umno, yang boleh menyebabkan kerajaan PN jatuh, juga merupakan “permainan kuasa” yang berpusing-pusing di tempat sama. Elit politik dilihat lebih memikirkan kepentingan atau keuntungan sempit mereka. Undi rakyat sekadar komoditi berharga untuk pertaruhan kedudukan yang lebih baik.

Malah, sebelum kerajaan tebuk atap didirikan Mac lalu, Umno dan Pas, melalui Muafakat Nasional (MN) sudah berkira-kira mencapai kemenangan dalam PRU15. Sifir politik mudah mereka berasaskan gabungan undi kedua-dua parti Melayu itu yang diperolehi pada 9 Mei 2018.

Di peringkat awal, Umno-Pas, semasa menghadap Yang di-Pertuan Agong sejurus kerajaan Pakatan Harapan (PH) dikhianati, tidak mempersembahkan nama calon perdana menteri, sebaliknya mencadangkan Parlimen dibubarkan.

Pilihan mencalonkan nama Muhyiddin Yassin datang kemudian selepas Tun Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim tidak mencapai sokongan “cukup bilang”. PH pada waktu kritikal itu tidak lagi mengusul nama Dr Mahathir dan bekas perdana menteri itu pula langsung tidak berunding dengan parti-parti komponen sebelum meletakkan jawatan. Hasilnya, impak negatif yang dahsyat susulan tiada persefahaman dan saling syak wasangka.

Pelbagai opsyen dikemukakan dalam Majlis Presiden PH bagi mengembalikan mandat rakyat, namun tidak berjaya diusahakan. Puncanya hanya satu, Mahathir-Anwar kembali bercakaran dan meletakkan Muhyiddin terselamat untuk seketika.

Walaupun pentadbiran Muhyiddin — dengan kesihatannya yang uzur itu — dianggap paling lemah dalam sejarah perdana menteri Malaysia, kehilangan fokus PH membawa keuntungan kepada Presiden Bersatu itu.

Lanskap politik kini sudah berubah. Bukan hanya gabungan pemerintah berpecah, kesatuan oposisi juga terburai. Mungkin koalisi baharu bakal terbentuk. PH kini tinggal tiga parti teras — parti reformasi PKR, AMANAH dan DAP — namun masih tidak berjaya menunjukkan mereka melangkah ke depan sederap.

Ramai pemerhati mempersoal hala tuju PH di bawah teraju Anwar. Ketua Pembangkang itu dilihat, dalam beberapa langkah penting, khususnya mencari sokongan Umno membentuk kerajaan, seperti mengetepikan pendapat ketua-ketua komponen parti. PH bagai hilang rentak dan bisanya.

Rata-rata kalangan masyarakat pula bukan sahaja tidak berminat dengan permainan teka-teki politik yang berpanjangan ini, malah sudah bosan-muak apabila krisis kesihatan-ekonomi pun mahu dipolitikkan.

Muhyiddin seringkali mendakwa tidak “bermain politik”, walhal sejak hari pertama menjadi pertama, setiap langkah dan silatnya bermotif politik belaka.

Dipercayai beliau menurut skrip yang diatur menteri paling kanannya, Azmin Ali. Ahli Parlimen Gombak dan bekas Timbalan Presiden PKR itu dikenali cukup licik memanipulasikan senario politik. Langkah Sheraton dipercayai hasil perancangan Azmin.

Selepas Muhyiddin-Azmin gagal memperolehi perisytiharan darurat daripada Agong, meskipun Belanjawan 2021 mungkin diluluskan Dewan Rakyat, kemungkinan pilihan raya mengejut tetap ada. Peringatan Setiausaha Agung DAP wajar diterjemah sebagai agenda bertindak PH.

“Suka atau tidak, kita perlu bersedia kerana jelas kerajaan berhasrat mengadakan pilihan raya tahun depan. Jika mereka gagal dapatkan pengisytiharan darurat yang dimahukan, untuk memerintah menggunakan ketakutan, saya fikir mereka melihat (untuk mengadakan) pilihan raya tahun depan,” kata Lim Guan Eng menarik perhatian pembangkang.

Sebelum ini, beliau juga pernah melontarkan kritikan terbuka kepada Anwar sebagai pengerusi PH. Pada minggu terakhir Oktober lalu, semasa diwawancara Malaysiakini, Guan Eng ditanya apakah PH masih wujud?

“Masih, tetapi seolah-olah unsur PH tidak dipancarkan. Ia seperti lebih kepada parti secara individu berbanding satu gabungan padu, atau usaha bersepadu oleh PH,” jawabnya.

Difahamkan, biarpun AMANAH masih berpendirian Anwar sebagai calon perdana menteri PH, namun beliau tidak diberi “cek kosong”. Ada laporan berita yang mendakwa sebilangan pemimpin kanan AMANAH agak “berkecil hati” dengan Anwar dalam hal rundingan peralihan kuasa membabitkan wakil rakyat Umno (sebahagiannya ada kes mahkamah) kerana tidak merujuk kepada parti sekutu PH.

Perbahasan tentang persiapan pembangkang menghadapi PRU15 memerlukan analisis lain yang menyeluruh. Tetapi cukup kali ini untuk membunyikan loceng amaran bahawa PH perlu bingkas daripada kesuraman dan titik-bengik yang tidak produktif. Setiap parti wajar memperkukuh organisasi, mengetatkan disiplin, menambah dana dan melebarkan pengaruh masing-masing.

Tunggu ulasan seterusnya …. Merancakkan persiapan bagi berdepan PRU15 tidak bermakna meremehkan potensi peluang untuk merebut balik Putrajaya. Apa yang penting pamerkan kejituan kesepakatan dan perpaduan di kalangan Pakatan Harapan dan gabungan pembangkang.

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/pamerkan-kejituan-muafakat-pembangkang-perteguh-ph/

COMMENTS