Panas !!! 25 Usul undi tak percaya terhadap PM tersenarai

Panas !!! 25 Usul undi tak percaya terhadap PM tersenarai

Sebanyak 25 usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin disenaraikan dalam sesi Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14, yang akan bermula 2 November hingga 15 Disember, 2020.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, ia bagaimanapun disenaraikan di peringkat bawahan, iaitu nombor 19 ke bawah.

Antara Ahli Parlimen yang akan dijadualkan akan membentangkan usul itu ialah Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), Tun Dr Mahathir Mohamad (Langkawi), Datuk Azis Jamman (Sepanggar), dan Datuk Ignatius Darell Leiking (Penampang).

Usul tersebut berbunyi – “”Bahawa Dewan ini memberi kebenaran kepada Ahli Yang Berhormat bagi Kawasan (Parlimen pembentang) untuk mencadangkan suatu usul iaitu menurut Peraturan Mesyuarat 26 (1) dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 27 (3), dalam Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

“.. mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin bin Yassin sebagai Ahli Yang Berhormat Pagoh Tidak Mempunyai Keyakinan Majoriti Ahli Ahli Yang Berhormat Dewan Rakyat”.

Secara keseluruhan, pembentang usul dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) seramai lima orang, Parti Warisan Sabah (Warisan) tujuh orang, Parti Amanah Negara (Amanah) sebelas orang, Parti Tindakan Demokratik (DAP) seorang, dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) seorang.

Selain itu, dua usul undi percaya terhadap Perdana Menteri turut disenaraikan, iaitu dari Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (Pasir Putih), dan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (Arau).
Dalam usulnya Shahidan berkata, Perdana Menteri telah menunjukkan kemampuan kepimpinan yang amat cemerlang dalam menangani pandemik COVID-19, serta memberikan komitmen yang tinggi terhadap kebajikan rakyat dengan pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).

“Bahawasanya YAB Ahli Parlimen Pagoh telah menggerakkan pemulihan ekonomi negara yang terkesan akibat pendemik COVID-19 dan mengambil tindakan yang tepat melalui inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

“Bahawasanya kejayaan ini akan menyerlahkan lagi kepimpinan YAB Ahli Parlimen Pagoh sebagai pemimpin negara dengan ciri dan gaya kepemimpinan yang penyayang, prihatin dan dihormati rakyat,” menurut usul Ahli Parlimen Arau itu lagi.

Pada 25 September lepas, Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah melalui sepucuk surat kepada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, menggesa Dewan Rakyat mengutamakan Usul Tidak Percaya Dr Mahathir, terhadap kepimpinan Perdana Menteri.

Ku Li, yang juga Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO berkata, Dr Mahathir Mohamad mendakwa Muhyiddin tidak membenarkan usul itu dibahaskan sebanyak dua kali dengan cara menyenaraikannya di penghujung senarai perbahasan.

Katanya, dengan cara itu perbahasan terhadap usul tersebut terhalang di samping pengundian terhadapnya tidak dapat dilaksanakan oleh Dewan Rakyat.

Namun dalam aturan itu, tidak kelihatan usul tidak percaya dari Ku Li, mahupun mana-mana Ahli Parlimen UMNO atau Barisan Nasional yang sebelum ini mengkritik kepimpinan Perdana Menteri.

UMNO dalam dua mesyuarat Majlis Tertingginya iaitu pada 27 Oktober dan 29 Oktober, mengulangi ketetapan untuk menyokong Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/25-usul-tidak-percaya-terhadap-perdana-menteri-tersenarai-dalam-aturan-mesyuarat-dewan-rakyat-266095

COMMENTS