Orang yang kata MIC sertai PN ni sangat bodoh – Presiden MIC

Orang yang kata MIC sertai PN ni sangat bodoh – Presiden MIC

‘Sangat bodoh’ untuk merumuskan bahawa MIC beralih arah kepada Perikatan Nasional (BN) hanya kerana parti itu menjemput perdana menteri menyampaikan ucaptama pada mesyuarat agungnya, kata Presiden MIC S Vigneswaran.

“Sekiranya langkah menjemput perdana menteri berucap pada perhimpunan parti dilihat sebagai beralih kepada PN, maka ia adalah sesuatu yang sangat bodoh.

“Untuk berlaku adil, kita harus menjemputnya. Beliau melantik timbalan presiden saya ke jawatan menteri tanpa cadangan daripada Barisan Nasional. Itu kebenarannya, melainkan ada orang yang mahu mempertikaikannya,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung parti itu hari ini.

Beliau memberi respons terhadap dakwaan bahawa MIC berubah arah menyokong PN dengan menjemput Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memberi ucapan pada mesyuarat tahunan itu.

“Hati nurani saya lapang. Saya tahu saya tidak menghina mana-mana pihak walaupun MIC diperlekeh dengan pelbagai cara selama ini,” tambahnya.

Vigneswaran mengakui MIC bergantung pada BN, dengan menambah bahawa sekiranya gabungan itu memerintah, parti tersebut akan menjadi sebahagian daripadanya.

Bagaimanapun katanya, MIC kini merupakan parti yang matang dan tidak akan mengikut mana-mana pihak secara membuta-tuli.

“Kita hanya mengikut secara membuta-tuli selama 55 tahun. Kini setelah kita membuka mulut untuk bertanyakan beberapa soalan, kita dilihat tidak setia.

Beliau berkata, adalah penting dalam mana-mana hubungan pihak terlibat “bersetuju untuk tidak bersetuju”.

“Anda tidak boleh memutuskan hubungan tanpa bertanya,” katanya, sekali gus menambah bahawa beliau hanya bertanya, “jika Umno boleh bekerjasama dengan PAS, mengapakah ia (Umno) tidak boleh melakukannya dengan PPBM.

“Saya bertanya siapakah yang akan memimpin BN dalam pilihan raya umum akan datang? Rakyat mahu tahu pilihan terbaik.

“Bagi saya, ia (PN) adalah kerajaan semasa. Apakah salah saya? Saya tidak membangkitkan masalah peribadi mana-mana orang,” katanya.

Berhubung kerjasama dengan PPBM, Vigneswaran berkata, parti itu akan bekerjasama dengan PPBM dengan tujuan memperkuat gabungan itu dengan menarik lebih banyak parti.

“Jelaslah kami rapat dengan Umno. Kami bekerja dengan mereka sejak sekian lama. Namun mereka harus memberi sebab yang munasabah apabila meminta kami melakukan sesuatu.

“Saya tidak melakukan perkara tidak rasional. Ia bukan sahaja tidak baik kepada saya, tetapi juga parti. MIC diajar supaya menghormati orang Melayu, Rukun Negara, Islam dan dasar kerajaan.”

Berita Penuh :

COMMENTS