NUTP dedah ada guru besar diarah jadi guru biasa balik

NUTP dedah ada guru besar diarah jadi guru biasa balik. Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) mendedahkan terdapat segelintir guru besar sekolah rendah diarahkan untuk menjadi guru biasa dan kembali mengajar hanya kerana dinaikkan gred DG52.

Presidennya, Aminuddin Awang berkata, pihaknya difahamkan jawatan guru besar hanya untuk guru gred DG48 dan keadaan itu mewujudkan ketidakharmonian dari segi perjawatan di peringkat sekolah serta rasa tidak selesa kepada guru berkenaan.

“Saya difahamkan tahun hadapan sudah mula ada generasi guru besar yang akan dinaikkan ke gred DG52. Mereka ini kebanyakannya masih muda dan usia bersara pun lambat lagi,” katanya ketika ditemui pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara NUTP dan Takaful Am Malaysia hari ini.

Katanya, pihaknya sudah menyuarakan isu berkenaan kepada kementerian, namun sehingga kini tiada jalan penyelesaian dapat dimuktamadkan.

NUTP dedah ada guru besar diarah jadi guru biasa balik

Aminuddin berkata, pihaknya mahu guru besar berkenaan kekal pada jawatan masing-masng biarpun dinaikkan kepada gred lebih tinggi.

“Buat masa ini, kenaikan gred guru berdasarkan ‘time based’ menggunakan formula 8:8:6:3 dan boleh mencapai sehingga gred DG54. Justeru, kami mahu pihak yang merangka perjawatan guru supaya lebih peka dengan isu ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Aminuddin berkata, isu sama turut dihadapi pegawai perkhidmatan pendidikan yang berkhidmat sama ada di kementerian, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Menurutnya, beliau mendapat maklumat ada pegawai di JPN dan PPD terpaksa ditukarkan dan diarahkan kembali mengajar di sekolah selepas dinaikkan gred DG54.

“Kami melihat isu ini sebagai satu kerugian kepada institusi pendidikan kerana kebanyakan mereka memiliki pelbagai kemahiran dan kepakaran dari segi pengurusan dan perkhidmatan.

“Saya juga dapat berita, ada pegawai yang berjawatan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah dan apabila dinaikkan gred DG54, dia terpaksa ke sekolah dan kembali mengajar,” katanya

BACA:

Kantoi tipu RM246 juta duit pelabur Forex, YouTuber cantik ini lari ke Malaysia

Nama Najib belum ada dalam senarai penjara? Menteri enggan ulas