Nik Abduh mahu pemimpin yang rosakkan hubungan dalam MN ditolak

Nik Abduh mahu pemimpin yang rosakkan hubungan dalam MN ditolak

Seluruh ahli dan penyokong Pas serta UMNO akan menolak serta membuang mana-mana pemimpin yang cuba merosakkan hubungan Muafakat Nasional (MN) yang telah diikat kukuh dengan nama Allah.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata, sejak MN termeterai setahun lalu, hubungan kedua parti terbesar orang Melayu itu berada dalam keadaan muhibah dan baik.

“Namun, jika ada pemimpin yang cuba merosakkannya, saya yakin, seluruh ahli dan penyokong Pas serta UMNO akan segera menolak, bahkan membuangnya,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Kenyataannya itu dipercayai merujuk kepada tindakan seorang pemimpin UMNO yang menyatakan sokongan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi pada masa sama menolak kerjasama dengan DAP.

Ahli Parlimen Bachok itu menyatakan dengan tegas bahawa kekeliruan yang berlaku tidak boleh menjadi punca dan alasan kepada kepanasan, kemarahan dan kebencian.

Ia katanya, adalah ujian daripada Allah yang bertujuan menguji kekuatan dan kesabaran para hamba-Nya yang dirahmati.

“Tumpu kepada penyatuan, pemurnian dan kesepakatan. Hindari wasangka dan keraguan sesama sendiri. Kenali tipu daya musuh,” katanya memberi peringatan.

Jelas beliau lagi, negara memerlukan MN demi kesejahteraan bersama kerana tanpanya, tiadalah Perikatan Nasional (PN).

“Tuhanku, aku berlindung dengan-Mu daripada hilangnya nikmat-Mu, bertukarnya afiat-Mu, kejutan kecelakaan daripada-Mu dan segala kemurkaan-Mu,” katanya. – MalaysiaGazette

Berita penuh : https://malaysiagazette.com/2020/10/27/tolak-pemimpin-rosakkan-hubungan-mn-nik-abduh/

COMMENTS