Nama ditulis pada replika kubur, exco kerajaan negeri Perlis tuntut permohonan maaf rumah hantu

Nama ditulis pada replika kubur, exco kerajaan negeri Perlis tuntut permohonan maaf rumah hantu. Seorang exco kerajaan negeri ini menuntut pengusaha Rumah Hantu Perlis yang beroperasi di Guar Jentik dekat Beseri di sini, membuat permohonan maaf secara terbuka kerana menulis namanya pada satu replika kubur yang sediakan dalam taman hiburan terbabit.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pelancongan, Kebajikan dan Bantuan Bencana, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Perlis, Wan Badariah Wan Saad, menyedari kejadian itu selepas dimaklumkan seseorang individu bahawa namanya serta maklumat peribadi tertera pada replika kubur di ‘rumah hantu’ itu.

“Jujurnya, saya begitu terguris dengan tindakan pengusaha berkenaan yang cuba mempromosikan taman hiburannya itu dengan menggunakan nama saya pada replika kubur di tempat itu.

“Saya dimaklumkan seseorang baru-baru ini, yang sempat membuat tangkap layar pada Facebook mengenai batu nesan replika kubur itu yang tertera maklumat diri saya seperti nama penuh, tarikh lahir dan juga lulusan sekolah saya menyebabkan ia ‘tular’ sebelum hantaran itu dipadamkan.

“Disebabkan itu, saya mendesak pengusaha Rumah Hantu Perlis itu memohon maaf secara terbuka kerana walaupun ia bagaikan berbentuk ‘prank’ atau jenaka, namun ini membabitkan sensitiviti kaum serta umat Islam,” katanya.

Nama ditulis pada replika kubur, exco kerajaan negeri Perlis tuntut permohonan maaf rumah hantu

Beliau ditemui media selepas Pembentangan Bajet Perlis 2023 sempena Mesyuarat Pertama, Penggal Persidangan Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke-15 di Kompleks DUN Perlis, di sini hari ini.

Wan Badariah berkata, bukanlah tidak boleh untuk berjenaka atau melakukan ‘prank’ namun perbuatan berkenaan dianggap melampaui batas yang ditetapkan agama Islam dan tidak ada faedahnya.

“Saya secara peribadi, tidak mengenali pengusaha ini, namun cara mereka mendapatkan pelbagai maklumat peribadi saya, termasuk tarikh lahir dan persekolahan, mendorong saya menyelidiki pengusaha ini dan mendapati seorang individu yang rapat dengan pengusaha itu mengenali saya menyebabkan segala butiran diri saya diletakkan pada replika kubur berkenaan.

“Saya tidak pasti sama ada mereka ini beroperasi secara sah dan berlesen kerana kerajaan negeri sendiri tidak pernah ‘endorse’ atau mempromosikan tempat itu, apatah lagi juga saya sebagai Exco Pelancongan juga tidak pernah dijemput ke tempat ini,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri difahamkan taman hiburan ‘Rumah Hantu Perlis’ ini beroperasi di tanah persendirian, namun akan menyiasat sama ada mereka mempunyai lesen termasuk lesen pelancongan untuk mengoperasikan ‘rumah hantu’ berkenaan.

Rumah Hantu Perlis yang terletak di Jalan Guar Jentik, Beseri itu didakwa beroperasi dari jam 8 malam hingga 12 tengah malam setiap hari dan mengenakan bayaran RM10 bagi setiap pengunjung dimana pengunjung akan bertemu dengan pelbagai ‘hantu’ yang sering dikaitkan dalam masyarakat Melayu di negara ini.

BACA:

Tawar pakej umrah tak wujud, pemilik syarikat ini ditahan polis

Jalan bata kuning 3,000 meter di dasar laut kejutkan saintis

Kantoi curang dengan janda, isteri serbu suami dalam bilik hotel… Terkejut lihat tuala basah