Muhyiddin yakin pihak bank mampu teruskan moratorium pinjaman bersasar

Muhyiddin yakin pihak bank mampu teruskan moratorium pinjaman bersasar

Pihak perbankan mempunyai kemampuan untuk melaksanakan lanjutan moratorium yang diberikan secara bersasar seperti diumumkan dalam Belanjawan 2021.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata tiada masalah bagi pihak perbankan melaksanakan kecairan (market liquidity) dalam sistem kerana ia boleh mendatangkan kerugian jika disimpan dalam keadaan perniagaan semakin jatuh.

“Sehubungan itu lebih baik mereka (bank) sokong perniagaan dengan memberikan lanjutan moratorium secara bersasar supaya perniagaan mampu berdiri dan (peminjam) bayar semula bagi memberi kebaikan dan faedah kepada bank.

“Sebab itu, Bank Negara Malaysia menasihatkan bank supaya memberi perhatian dan jangan menolak sahaja selain bersedia berunding untuk lanjutan moratorium, ” katanya pada sesi soal jawab bersama Astro Awani, di sini malam ini.

Perdana Menteri berkata, pihaknya mengakui jika mengikut kehendak, moratorium ini tidak perlu dilaksana secara bersasar, namun ia membabitkan duit rakyat yang disimpan dalam bank.

Katanya, sehubungan itu perlu ada tanggungjawab dan ketelusan bagi sistem perbankan untuk menjamin kelangsungannya dalam negara.

“Kedudukan kewangan bank yang meyakinkan itu penting bagi kita dan dalam keadaan ini dipertimbangkan juga (moratorium) secara bersasar kepada kumpulan tertentu yang mempunyai asas kukuh untuk dibantu.

“Namun ada juga kira-kira 70 peratus tidak mahu lanjutan moratorium kerana akhirnya ia perlu dibayar juga, ” katanya.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/11/751487/bank-mampu-teruskan-moratorium-pinjaman-bersasar

COMMENTS