Moratorium 6 bulan ditawarkan kepada mangsa banjir – Agrobank

Moratorium 6 bulan ditawarkan kepada mangsa banjir – Agrobank. Agrobank memperkenalkan Bantuan Banjir khusus buat pelanggan yang terkesan dengan fenomena alam itu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, berkata pelan itu menawarkan penjadualan dan atau penstrukturan semula pembiayaan (R&R) dan tawaran moratorium sehingga enam bulan.

Beliau berkata, langkah bank itu adalah sebagai sokongan membantu pelanggan yang terkesan berikutan kejadian banjir yang melanda sejak seminggu lalu.

Pelanggan katanya adalah sebahagian keluarga Agrobank dan seluruh kakitangan bank amat bersimpati dengan nasib yang menimpa mereka.

“Ramai pelanggan bank berdepan dengan pelbagai cabaran akibat bencana banjir yang melanda kawasan masing-masing sehingga menyebabkan kerosakan harta benda, ternakan dan ladang serta menjejaskan aktiviti pertanian.”

Moratorium 6 bulan ditawarkan kepada mangsa banjir - Agrobank

Sebagai sebuah institusi pembangunan kewangan (IKP) yang prihatin, Agrobank bertanggungjawab untuk memastikan pelanggan kami dilindungi dan dibantu.

“Justeru, sebagai usaha untuk menyuntik semangat buat pelanggan kami, Pelan Bantuan Banjir ini telah dirangka khas khusus untuk membantu mereka membangunkan semula perniagaan sekali gus memberi ruang untuk mengatur semula rancangan perniagaan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tengku Ahmad Badli Shah, berkata selain daripada dua tawaran yang dinyatakan, Agrobank turut memberikan pengecualian caj bagi penggantian kad ATM dan buku simpanan yang telah musnah akibat banjir.

Beliau berkata, bagi pelanggan yang layak, mereka boleh memohon untuk mendapatkan kemudahan yang ditawarkan ini menerusi borang yang disediakan di laman sesawang Agrobank.

Selain itu katanya, Agrobank juga akan meletakkan perkara ini sebagai prioriti utamanya di mana bank juga akan turut menghubungi pelanggan yang terkesan bagi membantu mereka menghadapi situasi yang sukar ini.

Langkah bank ini juga diambil selepas perbincangan dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu yang hadir ke ibu pejabat Agrobank pada Selasa.

Sementara itu, Mohamad Sabu pula berkata, situasi banjir memberi kesan kepada sektor pertanian negara.

“Saya memahami keluhan komuniti pertanian di mana tanaman, ternakan, sektor pemprosesan serta harta benda mereka telah rosak akibat bencana banjir.

“Justeru dalam menghadapi cabaran ini, pelan yang dirangka oleh Agrobank diharap dapat meringankan beban yang dihadapi mereka serta memastikan nasib komuniti agropreneur ini terbela.

“Ini bagi membolehkan pembangunan perniagaan pertanian mereka terjamin sekali gus meningkatkan kemampanan sosioekonomi komuniti pertanian serta membangunkan kestabilan sekuriti makanan negara,” katanya.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan Bantuan Banjir Agrobank, sila hubungi pusat perkhidmatan pelanggan Agrobank di 1300-88-2476 atau e-mail ke [email protected]

atau layari www.agrobank.com.my.

BACA:

Sanggup curi gelang emas untuk bantu langsai hutang teman lelaki

Alat sulit pelakon berdarah selama 6 bulan gara-gara sihir

Seludup dadah dalam penjara, 7 ditahan termasuk penjawat awam