Misteri tular “Lebai kenit ” kini terjawab

Misteri tular “Lebai kenit ” kini terjawab

Kelibat lembaga kecil memakai jubah dan serban berwarna putih yang digelar ‘le­bai kenit’ di hadapan Masjid At-Taqwa Kongsi di sini pada Jumaat lalu dipercayai patung yang menyerupai bentuk manusia.

Perkara itu dimaklumkan Imam Masjid At-Taqwa Kongsi, Azizal Shubli, 39, yang memberi­tahu, pihaknya yang menyiasat perkara itu selepas tular di media sosial tidak menolak kemungkinan objek tersebut sengaja di­letakkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

“Siasatan dalaman pihak masjid mendapati lembaga yang dirakam pengguna jalan raya yang juga kenalan saya bukanlah makhluk halus atau kanak-kanak bermain di tepi jalan seperti yang didakwa ramai.

“Sejak dilantik sebagai imam pada 2015, saya tidak pernah menemui lembaga itu (‘lebai kenit’) sama ada di dalam atau luar kawasan masjid. Kejadian ini adalah yang pertama,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurutnya, kesahihan me­ngenai patung itu masih disiasat.

“Sekiranya ada bukti yang mencukupi, kami akan berjumpa dengan pihak terlibat bagi mendapatkan penjelasan.

“Kami harap kejadian ini tidak menjejaskan kedatangan jemaah ke Masjid Kongsi,” katanya.

Azizal memberitahu, terdapat televisyen litar tertutup dipasang di masjid itu, namun tidak menghala ke lokasi tersebut.

Kosmo! semalam melaporkan, satu rakaman video memaparkan lembaga seperti kanak-kanak di depan Masjid At-Taqwa Kongsi tular di media sosial.

Video berdurasi 18 saat itu dirakam pemandu kereta pada pukul 11.55 malam, 28 Mei lalu.

 

Dalam pada itu, pengamal perubatan Islam, Ustaz Mohd. Romei Ngah tidak menolak kemungkinan ‘lebai kenit’ adalah makhluk yang menghuni masjid atau kawasan sekitarnya sejak dahulu lagi.

“Pengguna jalan raya nampak kelibat kerana makhluk itu keluar dari alam ghaib dan mungkin sudah lama tinggal di situ.

“Nasihat saya, sekiranya terserempak lembaga itu baca ayat Kursi dan berzikir.

“Makhluk halus ada di mana-mana dan boleh menjelma pada masa-sama ter­tentu. Hanya individu terpilih yang dapat melihatnya,” katanya

Berita Penuh :https://www.kosmo.com.my/2021/06/01/lebai-kenit-mungkin-patung-manusia/

COMMENTS