Misteri!!! Legenda buaya bersisik emas yang muncul dari Sungai Perak

Misteri!!! Legenda buaya bersisik emas yang muncul dari Sungai Perak

Siapa yang berasal dari sekitar mukim Bota atau Lambor Kanan di Perak, pernahkah anda mendengar kisah legenda kolam buaya emas?

Generasi baru mungkin tidak pernah mendengar kisah tersebut. Namun, orang-orang tua di daerah ini pasti masih ada yang tahu kisah lampau tentang sebuah kolam yang dihuni sekumpulan buaya emas.

Diceritakan pada zaman dahulu, wujud sebuah kolam yang terletak berhampiran dengan makam Sultan Muzaffar Shah 1 di Telok Bakong. Kolam ini sentiasa mempunyai air dan tidak akan kering walaupun pada musim panas. Kolam ini dikatakan dihuni oleh buaya emas.

Terdapat beberapa versi tentang kisah kolam ini yang disampaikan oleh penduduk kampung ini. Kami ceritakan salah satu versi yang sering diceritakan. Begini kisahnya…

Sekitar lewat kurun ke -16, Pusat Pemerintahan Perak Tua atau Tanah Abang diperintah oleh Sultan Mansor Shah ke 2. Tanah Abang kini dikenali sebagai Kampung Air Mati di Mukim Bota yang terletak betul-betul berhampiran dengan Sungai Perak.

Dikisahkan, Sultan ini sudah bertahun-tahun berkahwin tetapi masih tidak mempunyai zuriat yang boleh menjadi pewarisnya. Masalah ini merunsingkan baginda.

Atas nasihat pembesar negeri yang dikenali sebagai Bendahara, Baginda berjumpa dengan Tok Malim Buana yang arif dalam ilmu dunia dan kebatinan. Atas nasihat Tok Malim Buana, baginda suami isteri perlu mudik ke hulu dan singgah ke sungai Air Mati dan memasang niat untuk mempunyai zuriat.

Saranan Tok Malim Buana itu dilakukan dan Sultan Mansor berniat menginginkan zuriat seramai mungkin. Pada malam tersebut, baginda telah bermimpi sekuntum bunga bakawali yang sangat cantik dan mempunyai tujuh kelopak.

Selepas enam bulan didatangi mimpi itu, permaisuri disahkan hamil. Cukup sahaja tempoh, permaisuri selamat melahirkan seorang anak lelaki dan enam lagi puteri dalam tempoh tujuh tahun berturut-turut.

Walau bagaimanapun, setelah puteri bongsu memasuki usia 10 tahun, dia ditimpa penyakit misteri dan sering sakit sehingga tidak mampu bergerak lagi. Sultan Mahmud berdoa, memohon kepada Allah SWT untuk kesembuhan puteri bongsunya itu. Lalu baginda mendapat petunjuk supaya membina sebuah kolam yang alurnya dibina hingga ke tebing Sungai Perak.

Lalu puteri bongsu dimandikan dengan air kolam itu dan sebaik sahaja air mencecah kepala, muncul tiga ekor buaya yang bersisik emas dari Sungai Perak yang menuju ke kolam tersebut dan terus menghuni kolam itu.

Selepas mandi, puteri bongsu kembali beransur sihat dan kolam buaya emas itu menjadi tempat permainannya sehingga dia meninggal dunia.

Terdapat juga versi lain yang menceritakan selepas berdoa di Air Mati untuk dikurniakan zuriat, sultan bermimpi didatangi seorang lelaki tua berjanggut panjang yang mengarahkan baginda mencari bunga kunyit di Taman Diraja untuk dimakan oleh sultan dan permaisuri.

Setelah mengikuti apa yang disuruh, beberapa bulan kemudian permaisuri hamil dan melahirkan tujuh orang puteri selama tujuh tahun berturut-turut. Ketika puteri bongsu berusia 10 tahun, berlaku kejadian aneh apabila kesemua puteri sultan jatuh sakit hingga tidak sedarkan diri.

Setelah berdoa, sultan sekali lagi bermimpi didatangi lelaki berjanggut panjang itu yang menyuruhnya untuk membina sebuah kolam. Selepas kolam itu siap dibina, kesemua puteri sultan disiramkan dengan air dari kolam tersebut. Lelaki tua itu turut berpesan agar sultan sentiasa mengawasi puteri mereka apabila mereka turun bersiram di kolam tersebut jika tidak mahu perkara buruk berlaku. Dan puteri-puteri itu dilarang menyanyi di kolam itu.

Selepas mendapat mimpi itu, sultan mengarahkan dibina sebuah kolam. Kemudian, puteri-puteri baginda dibawa ke kolam itu. Sebaik kaki dijejakan ke air kolam tersebut, kesemua puteri sultan sedar dan sembuh semula.

Semasa puteri sulung menjejakkan kaki ke permukaan air kolam, turun hujan dan muncul pelangi di kawasan itu. Dan ketika itulah dari arah Sungai Perak, muncul seekor buaya masuk melalui alur dan terus ke kolam itu. Apabila buaya itu masuk saja ke dalam kolam itu, sisiknya telah bertukar menjadi keemasan.

Selang beberapa tahun, permaisuri hamil lagi dan kali ini melahirkan bayi lelaki yang akan menjadi pewaris sultan kelak. Kerana terlalu gembira dengan puteranya, sultan terlupa untuk mengawasi puteri-puterinya.

Suatu hari, kesemua puteri sultan pergi ke kolam untuk bersiram tanpa diawasi oleh sultan. Sewaktu mereka menjejakkan kaki ke kolam itu, guruh berdentum tanda sesuatu yang buruk akan berlaku. Buaya bersisik emas itu juga ghaib tidak kelihatan.

Seekor Bota (raksasa) yang melihat puteri-puteri itu bersiram tanpa pengawasan telah meniupkan serulingnya, menyebabkan kesemua puteri itu terpesona dengan alunan seruling lalu mereka mula menyanyi. Itulah pantang larang yang dipesan lelaki tua itu kepada sultan, akhirnya dilanggar. Tidak semena-mena kilat menyambar kolam itu menyebabkan kesemua puteri sultan mangkat di situ juga.

Walaupun apa pun versi ceritanya, kisah kolam ini memang diketahui oleh penduduk setempat. Ada yang mengatakan kononnya di kolam itu terdapat harta karun di dasarnya. Dikatakan pernah ada orang yang cuba mencari harta tersebut tetapi sia-sia.

Orang-orang tua dahulu juga menceritakan pada zaman dahulu, penduduk kampung sering meminjam pinggan mangkuk untuk kenduri di kolam ini.

Tapak kolam buaya emas itu masih wujud lagi sehingga kini. Ada penduduk yang mengatakan, pelangi akan muncul merentasi kolam itu apabila hujan gerimis turun.

Kawasan bekas kolam buaya bersisik emas yang kini sudah terbiar dan dipenuhi belukar.
Sehingga kini, legenda kolam buaya emas itu masih menjadi kepercayaan penduduk terutama orang-orang tua yang arif dengan kisah tersebut. Cuma, tapak kolam itu sudah terbiar sepi dan semakin mengecil, cetek dan dipenuhi belukar.

Pun begitu, dikatakan air di dalam kolam itu masih ada dan tidak pernah kering. Namun, pengunjung dilarang untuk menghampiri kawasan kolam itu kerana dikhuatiri boleh terjadi kemalangan atau musibah.

Kisah di atas merupakan sebahagian legenda dan kisah-kisah masyarakat zaman dahulu, untuk tatapan pengetahuan generasi muda. Kisah kolam buaya emas ini masih menjadi antara legenda popular di Mukim Bota. Cuma, generasi muda mungkin ramai tidak mengetahuinya.
Sumber:https://utusantv.com/2021/05/20/legenda-kolam-buaya-emas-di-bota-dihuni-3-ekor-buaya-bersisik-emas-yang-muncul-dari-sungai-perak/

COMMENTS