Menteri Pengangkutan naik LRT waktu puncak tanpa pengetahuan pihak pengurusan

Menteri Pengangkutan naik LRT waktu puncak tanpa pengetahuan pihak pengurusan. Meskipun belum memulakan tugas secara rasmi, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sudah mula turun padang apabila meninjau sendiri situasi perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya, hari ini.

Dengan memakai topi dan pelitup muka berwarna hitam, Loke menyamar sebagai penumpang biasa untuk merasai sendiri pengalaman menaiki LRT itu selama dua jam pada waktu puncak, petang tadi.

Tanpa ditemani mana-mana pegawai kementerian atau pengurusan Rapid Rail Sdn Bhd dan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Loke mengakui situasi sesak dalam LRT ketika waktu puncak antara jam 5 hingga 7 petang, tidak selesa kepada penumpang.

Sehubungan itu, beliau akan membangkitkan mengenai hala tuju dan penambahbaikan perkhidmatan pengangkutan awam dalam mesyuarat bersama pengurusan tertinggi Prasarana, minggu ini.

“Petang tadi, saya meluangkan masa dua jam untuk meninjau keadaan sebenar perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya semasa waktu puncak antara jam 5 hingga 7 petang.

Menteri Pengangkutan naik LRT waktu puncak tanpa pengetahuan pihak pengurusan

“Keadaan cukup sesak dalam tren dan sudah tentu tidak selesa kepada penumpang.

“Saya tidak memaklumkan kepada pengurusan Prasarana dan pihak media kerana saya nak mengalami sendiri keadaan sebenar seperti penumpang biasa untuk merasai apa yang mereka perlu lalui setiap hari.

“Saya memahami kesulitan yang dihadapi penumpang LRT. Saya akan mengadakan mesyuarat dengan pengurusan tertinggi Prasarana dalam minggu ini juga untuk membincangkan hala tuju dan cara untuk menambah baik perkhidmatan pengangkutan awam kita,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya mendapat perhatian sejak beberapa minggu lalu selepas mengalami gangguan beberapa kali hingga operasinya terpaksa dihentikan selama hampir seminggu bermula 9 November lalu.

Penggantungan perkhidmatan LRT antara stesen Kelana Jaya dan Ampang Park ketika itu terpaksa dilakukan selepas operasi tren berkenaan mengalami gangguan sistem kawalan tren automatik (ATC) selama beberapa kali, hingga menjejaskan kestabilan perkhidmatannya.

Loke dijadualkan memulakan tugas rasminya sebagai Menteri Pengangkutan pada jam 8.15 pagi esok. Beliau pernah memegang jawatan itu antara Mei 2018 hingga Februari 2020.

Sementara itu, pengguna media sosial masing-masing membanjiri ruangan komen di bawah hantaran Loke, dengan majoritinya mahu isu kualiti perkhidmatan LRT dan perkhidmatan awam lain diselesaikan secara tuntas.

Mereka turut memuji tindakan Loke yang turut padang dan membuat pemantauan sendiri tanpa ditemani pegawai kementerian dan pengurusan LRT berkenaan.

Pengguna Facebook, Abdul Rahman Abdul Rashed menyarankan Loke bertemu dengan pihak kesatuan pekerja dan berbual dengan pengguna untuk mengetahui maklum balas secara langsung mengenai isu dan masalah membabitkan perkhidmatan awam.

“Kisah LRT selalu rosak ini adalah ‘tip of the iceberg’, banyak isu dalaman lain yang tidak dikongsikan Prasarana. Hanya kesatuan ada jawapannya,” katanya.

Seorang lagi pengguna Facebook, Hamidah Hamdan, mengakui sudah lama menunggu Menteri Pengangkutan merasai sendiri pengalaman pengguna LRT bersesak setiap kali waktu puncak.

“Terima kasih YB (Yang Berhormat). Akhirnya. Setiap kali tren buat hal, kekerapan sekarang yang lebih lama daripada biasa. Memang saya harap ada menteri turun padang terutama waktu puncak, rasa sendiri bagaimana berhimpitnya kami pagi dan petang,” katanya.

Netizen Chew Kim Soon pula berharap Loke dapat menyelesaikan segera isu eskalator di stesen LRT dan transit aliran massa (MRT) yang mengalami kerosakan sejak berbulan lamanya dan belum dibaiki.

Zach Asyraf pula memohon Loke menambah baik perkhidmatan Komuter, khususnya memendekkan masa menunggu ketibaan tren kepada 30 minit, berbanding 60 minit ketika ini.

BACA:

Hina golongan janda, marketing murahan jenama vape ini dapat kecaman

2 hari nikah dah minta cerai, penyanyi dah minat lelaki lain

Sidang parlimen akan datang fokus bajet emolumen – Rafizi