Menghilangkan kelaparan, kejahilan dan kedukaan rakyat : Prinsip Adly pimpin Melaka 22 bulan

Menghilangkan kelaparan, kejahilan dan kedukaan rakyat : Prinsip Adly pimpin Melaka 22 bulan

Selepas Pilihan Raya Umum ke-14, Pakatan Harapan(PH) yang dianggotai oleh Parti Keadilan Rakyat(PKR),Parti Tindakan Demokratik(DAP), Parti Amanah Negara(AMANAH) dan Parti Peribumi Bersatu Malaysia(BERSATU) berjaya menumbangkan parti pemerintah yang paling lama iaitu Barisan Nasional(BN) untuk membentuk kerajaan persekutuan. Gelombang ini juga terkena tempiasnya ke negeri Melaka, negeri bersejarah. PH Melaka berjaya membentuk kerajaan dengan majoriti tipis sebanyak 2 kerusi. PH memperoleh 15 kerusi manakala BN hanya 13 kerusi.

Dua hari selepas hari pembuangan undi, YB Tuan Hj Adly Zahari ADUN Bukit Katil telah dipersetujui oleh semua pimpinan PH serta Tuan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob untuk dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka yang ke-11. Istiadat Angkat Sumpah Jawatan itu berlangsung di Dewan Seri Utama, Seri Negeri, Ayer Keroh pada 3.50 petang. Beliau melafazkan sumpah jawatan dan taat setia serta kerahsiaan yang perlu beliau patuhi dalam tempoh memegang jawatan ketua menteri. Adly merupakan Pengerusi AMANAH Negeri Melaka yang juga Pengerusi PH Melaka. Semasa PRU ke-14, Adly merupakan jeneral utama yang memandu PH Melaka kearah pembentukan kerajaan negeri.

Beberapa hari selepas mengangkat sumpah, beliau berjaya membentuk barisan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dianggotai oleh 10 orang wakil rakyat Melaka. Adly sendiri mengetuai Jawatankuasa Kewangan Tanah Perancangan Ekonomi dan Hal Ehwal Agama negeri. Dalam ucapan pertama beliau sebagai Ketua Menteri Melaka, Adly menegaskan bahawa semua ahli EXCO kerajaan negeri yang baru dilantik itu perlu merealisasikan tanggungjawab dan amanah besar dijanjikan dalam manifesto PH Melaka PRU-14 yang mengandungi 20 aku janji serta 85 inisiatif bagi tempoh lima tahun. Beliau telah mengariskan tiga perkara penting yang menjadi asas kepada gerak kerja kabinetnya iaitu menghilangkan kelaparan rakyat, menghilangkan kejahilan dan menghilangkan kedukaan rakyat.

Setelah 22 bulan mengetuai jentera pentadbiran kerajaan Negeri Melaka, ribut yang melanda kerajaan persekutuan telah terkena tempiasnya ke negeri Melaka. Perubahan pucuk pimpinan negara dari Tun Dr. Mahathir(PH) beralih kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin(PN) menyebabkan kedudukan kerusi PH Melaka juga berubah dari 15 kerusi kepada 13 kerusi. Ia berikutan langkah BERSATU membentuk gabungan politik baru dengan UMNO dan PAS, kini mempunyai 15 kerusi DUN, sekali gus mendapat suara majoriti. Kedudukan ini diperkuatkan lagi oleh keputusan 2 ADUN, masing-masing daripada DAP dan PKR, untuk menyokong kerajaan PN tanpa keluar parti mereka.

Kebijaksanaan dan prinsip Adly terserlah dalam berhadapan konflik ini apabila beliau mencadangkan Tuan Yang Dipetua Negeri Melaka membubarkan Dewan Undangan Negeri Melaka agar dipulangkan mandat kepada rakyat. Beliau berpandangan menentukan siapa menjadi kerajaan bukan terletak kepada beberapa wakil rakyat sahaja yang melompat ke pihak yang mereka inginkan. Hal ini kerana, wakil rakkyat tersebut terikat dengan mandat yang diberikan oleh rakyat kepada gabungan parti-parti yang menang semasa PRU ke-14. Wakil rakyat itu dipilih atas kapasitinya bersama gabungan PH, namun dikhianati apabila mereka melompat membentuk kerajaan bersama parti yang kalah dalam pilihan raya yang lalu. Namun, budi bicara Tuan Yang Dipertua Negeri Melaka mengatasi cadangan adly. Pada 9 Mac 2020, terbentuklah kerajaan PN Melaka apabila Ketua Menteri yang baru dilantik.

Sepanjang memimpin kerajaan negeri Melaka, Adly telah menyerlahkan daya kepimpinannya baik dalam mentadbir mahupun berhujah didalam Dewan Undangan Negeri. Kepetahan beliau berpidato menjadi daya tarikan apabila DUN Melaka bersidang. Menjawab hujah dan tohmahan pihak pembangkang yang cuba mengganggu-gugat kestabilan kerajaan negeri mempamerkan kecerdikan Adly berpolitik.

1.MENGHILANGKAN KEDUKAAN RAKYAT

Usaha yang paling popular yang dilakukan Adly adalah mewujudkan ‘Hari Bertemu Rakyat bersama Ketua Menteri Melaka yang diadakan setiap minggu bertempat di kediaman rasmi Ketua Menteri. Sebelah petangnya pula, beliau akan turun ke setiap DUN secara bergilir bagi melihat lapangan sebenar isu yang berbangkit. Usaha ini sangat berkesan kerana kerajaan negeri sendiri akan mendapat maklumat secara terus atas sesuatu isu. Usaha ini membolehkan kerajaan pimpinan Adly ini menyelesaikan masalah tersebut secara tepat dan berkesan. Selain itu, rakyat tidak sukar untuk mengemukan aduan dan pandangan kerana terdapatnya tempat dan ruang yang disediakan setiap minggu. Hasilnya, seperti yang diumumkan oleh Adly bahawa sebanyak 80% aduan rakyat Melaka dapat diselesaikan melalui program ini. Program ini medekatkan Adly dan pasukannya di hati rakyat.
Seterusnya, kepimpinan Adly di Melaka memperkenalkan pelbagai jenis rumah khas untuk mereka yang bertaraf B40 dan M40. Antaranya ialah Rumah Peduli khas buat rakyat termiskin. Tujuan utama pembinaan Rumah Peduli ini adalah untuk golongan yang kurang berkemampuan. Kedua, adalah Rumah Belia skim khusus untuk M40 dan B40. Rumah Belia khusus disasarkan kepada golongan belia adalah antara usaha, komitmen dan kesungguhan kerajaan negeri untuk memenuhi keperluan perumahan penduduk melalui konsep perkongsian pintar antara kerajaan negeri dengan pemaju swasta yang membangunkan projek perumahan mampu milik di negeri ini. Paling menarik apabila kerajaan pimpinan Bendahari Agung AMANAH ini melaksanakan program ‘Rumah Berkat’. Program ini khas untuk pasangan yang baru berkahwin dan merupakan rumah transit selama 3 tahun dengan kadar sewaan hanya RM150 sebulan.

Kebimbangan rakyat dalam sektor kesihatan juga diberikan perhatian oleh beliau. Kerajaan PH Melaka memperkenalkan Kad Peduli Sihat. Menerusi Kad Peduli Sihat itu setiap keluarga bakal memperoleh manfaat antara RM300 hingga RM500 setahun untuk mendapatkan pelbagai rawatan kesihatan di klinik swasta terpilih. Segala dasar-dasar yang diperkenalkan ini seiring dengan pegangan yang dinyatakan oleh Adly Zahari untuk menghilangkan kedukaan rakyat apabila sebahagian besar masalah perumahan,kesihatan dan hal-hal lain berkaitan rakyat dapat dibantu.

2.MENGHILANGKAN KELAPARAN RAKYAT

Produk utama kerajaan pimpinan Adly yang menjadi perhatian rakyat ialah kewujudan Amanah Finance House. Amanah Finance House menawarkan pinjaman kewangan kepada perniagaan kecil dengan saiz pinjaman bermula daripada RM3,000 hingga RM50,000. Penubuhan institusi kewangan oleh kerajaan negeri merupakan usaha yang pertama kali dilakukan di Malaysia. Selain itu, pimpinan Adly juga tidak melupakan kepada golongan warga emas apabila skim susu formula untuk warga emas dilaksanakan. Hampir semua segmen masyarakat di negeri Melaka telah diberikan perhatian sepenuhnya oleh PH Melaka selaras dengan usaha untuk menghilangkan kelaparan rakyat.

3.MENGHILANGKAN KEJAHILAN RAKYAT

Prinsip menghilangkan kejahilan rakyat dimulakan oleh kerajaan negeri Melaka dengan cara memperkenalkan biasiswa untuk mereka yang ingin menyambung pelajaran di negara timur tengah. Biasiswa untuk belajar ke timur tengah ini tidak pernah diwujudkan walaupun pemerintahan yang lama dipimpin oleh parti yang memperjuangkan melayu. Seterusnya kerajaan negeri Melaka memperuntukkan RM1 juta untuk Kolej Universiti Islam Melaka(KUIM) bagi menaiktaraf institusi pendidikan setaraf IPT yang lain. Walaupun Adly tidak menjual jenama Islam sebagai produk utama beliau, namun dalam usahanya terdapat langkah untuk memperkasakan nilai bersyariah dalam diri rakyat. Usaha memberi ilmu secara berterusan kepada rakyat adalah intipati utama kepimpinan Adly kerana baginya, negeri yang maju, rakyatnya sentiasa berilmu dan mencari limu.

Ternyata perlantikan Adly sebagai Ketua Menteri Melaka dalam tempoh 22 bulan amat memberi kesan kepada rakyat negeri Melaka. Rakyat Melaka amat merindui kepimpinan beliau apabila kerajaan negeri Melaka berubah kepada PN. Hasil pengkhianatan ADUN-ADUN dari PH menyokong kerajaan PN menyebabkan usaha pembangunan yang telah direncana oleh kepimpinan Melaka baru terbantut. Kononnya langkah mereformasikan negara oleh politikus yang berkepentingan sehingga mengubah pucuk pimpinan kerajaan persekutuan adalah tidak masuk akal.

Sehingga tulisan ini ditulis, PN sedang mengalami gegaran apabila BERSATU dan UMNO saling salah-menyalahkan antara satu sama lain dalam pelbagai isu. Ramai yang meramalkan gabungan PN ini akan kembali berpecah yang akan mempengaruhi perubahan kepimpinan beberapa negeri dan penulis memberi keyakinan YB Adly Zahari yang sekarang memikul tugas sebagai Ketua Pembangkang DUN Melaka akan kembali memikul tanggungjawab sebagai Ketua Menteri Melaka.

Disediakan Oleh,
SYAZMIR HARIZ BIN NOORAZALAN
AJK Biro Komunikasi Pemuda AMANAH Selangor
Naib Ketua Pemuda AMANAH Gombak

Sumber :

COMMENTS