Mengapa tiba-tiba kerajaan sekarang perlukan dana daripada KWAN?

Mengapa tiba-tiba kerajaan sekarang perlukan dana daripada KWAN?

Tindakan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menggunakan peraturan darurat untuk menggunakan Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) bagi vaksin dan perbelanjaan yang berkaitan dengannya adalah sangat membimbangkan.

Menurut Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Utama Mohamad Hassan memandangkan tindakan ini adalah berkepentingan nasional, maka seharusnya ia dibincang dan dipertimbangkan secara menyeluruh oleh semua pihak dengan diserta ketelusan yang tinggi.

Malangnya kata beliau, setakat ini, tidak ada perbincangan antara anggota pentadbiran kerajaan dengan wakil rakyat untuk memastikan kewujudan proses semak dan imbang.

Bahkan, katanya tidak ada ruang untuk jawatankuasa pilihan Parlimen memastikan ketelusan serta kebertanggungjawaban memandangkan Parlimen masih digantung, impak daripada peristiharan darurat.

“Persoalannya, wajarkah kerajaan Perikatan Nasional mempertaruhkan kesejahteraan generasi akan datang serta kelangsungan masa depan mereka tanpa meneroka pilihan lain terlebih dahulu?

“Kita sebenarnya masih boleh mempertimbangkan untuk menawarkan vaksinasi percuma khusus kepada mereka yang tidak mampu.

“Bagi yang berkemampuan pula, mereka boleh membayar mengikut kadar harga pasaran.

“Mungkin situasi ini bukan pilihan yang terbaik, tetapi ia pasti lebih baik dari memperjudikan masa depan generasi akan datang,” kata beliau.

Dalam Belanjawan 2021, RM3 bilion telah diperuntukkan untuk vaksinasi bagi 83 peratus rakyat Malaysia.

Sebulan yang lalu, peruntukan untuk Program Imunisasi COVID Nasional ini ditambah menjadi RM5 bilion.

Tujuannya untuk mempercepatkan sasaran memvaksinkan 80 peratus penduduk menjelang Disember dan bukannya Februari 2022 seperti yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

“Jadi mengapa secara tiba-tiba kerajaan sekarang memerlukan dana daripada KWAN?” soal beliau.

Kumpulan Wang Amanah Negara ditubuhkan kira-kira 30 tahun yang lalu untuk kepentingan generasi masa depan memandangkan sumber semula jadi negara semakin menyusut.

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/guna-kwan-kerajaan-pn-memperjudikan-generasi-masa-depan/

COMMENTS