Makin banyak isi rumah Malaysia berhutang

Makin banyak isi rumah Malaysia berhutang. Awal minggu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan bajet mini termasuk beberapa pengumuman untuk menyantuni rakyat yang terkesan dengan keadaan ekonomi kini.

Ia termasuk pemberian RM150 untuk semua keluarga tanpa mengira taraf pendapatan dan itu pertama kali dilaksanakan.

Bagi mendapatkan gambaran jelas, wartawan Kafe Ahad, MUHAMMAD SAUFI HASSAN mewawancara Pakar Ekonomi, PROF EMERITUS DR BARJOYAI BARDAI bagi mengulas isu ini.

Pemberian RM150 untuk bantuan anak sekolah kepada semua keluarga pertama kali dilaksanakan, pandangan Prof berhubung inisiatif berkenaan?

Apa yang menarik tentang bantuan ini ialah ia diberikan kepada semua anak-anak yang bersekolah tidak mengira taraf hidup ibu bapa mereka.

Makin banyak isi rumah Malaysia berhutang

Ia menunjukkan semangat ‘keterangkuman’ di dalam memberi bantuan.

Jumlah RM150 seorang walaupun mungkin tidak mencukupi untuk belanja persekolahan setahun (atau sebulan bagi sesetengah keluarga) namun sudah cukup untuk menampung belanja permulaan menghantar anak anak ke sekolah di awal tahun.

Ini merupakan inisiatif yang dialu-alukan. Ia bukan satu bentuk bantuan yang lestari dalam jangka panjang kerana ia melibatkan semua anak sekolah yang mungkin banyak menyebabkan pembaziran kerana pemberian dibuat kepada kumpulan yang tidak memerlukan.

Penyediaan makan pagi di sekolah untuk semua murid di sekolah mungkin akan menjadi penggenap penting kepada inisiatif di atas.

Pandangan Prof secara keseluruhan terhadap pembentangan mini bajet berkenaan?

Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa membentangkan sebuah belanjawan mini di Parlimen pada minggu lalu disebabkan sejumlah RM55.9 bilion perlu diperuntukkan untuk gaji dan pencen kaitangan awam bagi mengelakkan suasana genting tiada wang untuk membayar gaji mulai Januari 2023 sehingga belanjawan penuh dibentangkan pada Februari.

Untuk ini Kementerian Kewangan meminta agar Parlimen meluluskan perpindahan RM107.7 bilion daripada akaun kumpulan wang pembangunan untuk menampung perbelanjaan enam bulan bagi 2023.

Pada masa yang sama, Kementerian Kewangan juga meminta kelulusan untuk kerajaan mengeluarkan kertas pinjaman bagi menampung perbelanjaan dan ambilan di atas.

Peruntukan RM107.7 bilion ini akan menampung perbelanjaan beberapa kementerian yang penting seperti berikut:

• Perkhidmatan Perbendaharaan RM 28.12 bilion.

• Kementerian Pendidikan RM24.98 bilion

• Kementerian Kesihatan RM17.05 bilion

• Kementerian Dalam Negeri RM6.90 bilion

• Kementerian Pengajian Tinggi RM5.85 bilion

• Kementerian Pertahanan RM5.70 bilion

Bakinya akan digunakan sebagai bayaran pendahuluan bagi subsidi dan bantuan awam untuk kumpulan yang memerlukan.

Mungkin tidak adil untuk cuba menilai belanjawan mini ini kerana ia bukannya satu belanjawan penuh.

Namun tindakan kerajaan baru ini meluluskan bantuan dan subsidi yang dicadangkan di dalam belanjawan kerajaan sebelumnya menunjukkan rasa prihatin kerajaan terhadap kumpulan yang memerlukan.

Bagaimanakah bajet mini dan mungkin bajet penuh yang dijadualkan akan dibentangkan tahun depan akan dapat membantu negara menghadapi kemelesetan ekonomi tahun depan?

Bagi tempoh jangka pendek, belanjawan mini yang menyediakan peruntukan kira-kira RM107.7 bilion ini akan akhirnya menjadi sumber pendapatan kepada isi rumah di negara ini dan akan dibelanjakan untuk mewujudkan permintaan berkesan di pasaran.

Ini akan serta-merta melonjak penggunaan persendirian dan penggunaan kerajaan (awam).

Ia akan melonjakkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk enam bulan yang pertama ini.

Selepas belanjawan penuh dibentangkan nanti, sejumlah lebih daripada RM200 bilion lagi akan diluluskan dan dibayar kepada kumpulan isi rumah secara langsung atau tidak langsung.

Ini amat penting di dalam memacu pertumbuhan ekonomi di awal 2023, kerana lebih 65 peratus pertumbuhan ekonomi negara dipacu oleh sektor perbelanjaan persendirian ini.

Wajarkah kerajaan melakukan takrifan semula kategori B40, M40 dan T20 memandangkan berlaku inflasi dan kenaikan harga barang?

Sebenarnya, pengelasan B40, M40 dan T20 adalah dipinjam daripada pengelasan isi rumah di dunia barat dan oleh Bank Dunia.

Kesan daripada Covid-19 dan kegawatan ekonomi baru-baru ini, kini dikatakan bahawa T20 sudah menjadi T10, M40 sudah menjadi M20, dan B40 sudah menjadi B70 berasaskan kedudukan pendapatan dan kekayaan isi rumah di Malaysia,

Kita kini memerlukan data ‘mikro’ yang terperinci untuk setiap isi rumah di negara ini bagi membolehkan kita untuk menangani isu dan masalah setiap penduduk dan isi rumah di Malaysia.

Berdasarkan dapatan Prof, berapakah jumlah penduduk dalam kategori B40, M40 dan T20 dan adakah langkah kerajaan sebelum ini sudah memadai dalam menyantuni golongan berkenaan?

Pada masa lalu, kerajaan melihat kumpulan B40 (atau 40 peratus kumpulan isi rumah terbawah iaitu kira kira 13.2 juta isi rumah) sebagai kumpulan sasar utama di dalam memberi bantuan dan memastikan kehidupan mereka dibela dan dibantu.

Namun terdapat banyak kes yang dilaporkan yang mana wujud sejumlah besar kumpulan miskin mutlak dan miskin relatif yang tidak terbela, hidup di rumah setinggan, malah ramai juga menjadi kumpulan gelandangan walaupun setiap tahun berbilion diperuntukkan untuk membasmi kemiskinan, termasuk program menggunakan wang zakat yang dikutip daripada kumpulan majoriti Muslim di Malaysia.

Kumpulan M40 pula (40 peratus isi rumah kelas menengah yang terdiri daripada 13.2 juta isi rumah) sebenarnya mengandungi dua kumpulan yang berbeza iaitu kumpulan kelas menengah atas M10 (3.3 juta isi rumah) dan kumpulan kelas menengah bawah M30 (9.9 juta isi rumah).

Bila mereka dikelaskan sebagai gerombolan yang sama, mereka dihadapkan dengan situasi yang sama, menjadikan kumpulan M30 yang sebenarnya merupakan kumpulan berpendapatan lebih sedikit sahaja daripada kumpulan B40, mereka belum mampu untuk hidup seperti kumpulan berpendapatan sederhana.

Mereka terpaksa cuba hidup seperti kumpulan M10 yang sebenarnya berada di bawah sedikit sahaja daripada kumpulan T20.

Jadi akhirnya ramai isi rumah di kumpulan M30 di atas yang terjerat kerana cuba hidup seperti kumpulan M10 – kelas menengah atas, berbelanja seperti kumpulan M10 ini walau pun pendapatan mereka adalah lebih dekat dengan kumpulan B40.

Akhirnya mereka terjerat oleh pinjaman seperti pinjaman peribadi, kad kredit, pinjaman kenderaan dan pinjaman perumahan.

Di Malaysia, pinjaman peribadi isi rumah sudah hampir menyamai Keluaran Negara Kasar, yang menjadikan isi rumah Malaysia yang paling banyak berhutang dalam kalangan negara membangun.

BACA:

Wanita Inggeris dedah 5 sebab pelik kenapa suka Malaysia

Lelaki mengamuk flight delay 8 jam, sekali netizen tumpang setuju

Kurusnya, Atikah Suhaime kini jadi sasaran teguran peminat