Mahkamah Persekutuan putuskan anak luar nikah ini tak layak dapat kewarganegaraan

Mahkamah Persekutuan putuskan anak luar nikah ini tak layak dapat kewarganegaraan

Mahkamah Persekutuan memutuskan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang juga anak kepada seorang lelaki warga tempatan dan ibunya warga Filipina tidak berhak mendapat kewarganegaraan Malaysia.

Dalam keputusan tipis 4-3, Hakim Rohana Yusuf berkata rayuan itu ditolak kerana anak lelaki itu lahir di luar perkahwinan dan ibu bapanya hanya berkahwin lima bulan kemudian.

Rohana yang juga Presiden Mahkamah Rayuan, berkata Perlembagaan Persekutuan juga menyatakan bahawa anak luar nikah perlu mengikut kewarganegaraan ibunya.

Turut bersetuju dengan beliau ialah Hakim Vernon Ong, Zabariah Mohd Yusof dan Hasnah Mohammed Hashim.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, Hakim Nallini Pathmananthan, dan Mary Lim Thiam Suan pula di pihak minoriti.

Tengku Maimun berkata, kebebasan asasi sentiasa berkembang dan penolakan taraf kewarganegaraan adalah diskriminasi kerana melanggar peruntukan tentang kesamaan dalam Perlembagaan.

Ketua hakim itu berkata, kewarganegaraan seorang anak dapat ditentukan oleh ibu hanya jika identiti bapa tidak diketahui.

Nallini berkata, keputusan majoriti menunjukkan bahawa hanya ibu yang memberikan taraf kewarganegaraan seorang anak dan bukan bapa.

Keputusan disampaikan secara maya memandangkan pandemik Covid-19. Mahkamah sebelum ini menangguhkan penghakiman selepas mendengar permohonan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan pada 4 Feb.

Kanak-kanak lelaki itu, yang identitinya dirahsiakan atas perintah mahkamah, dilahirkan oleh pasangan itu yang pada awalnya tidak berkahwin secara sah. Kanak-kanak itu hanya memegang pasport Filipina.

Kanak-kanak itu yang dilahirkan pada 2010, kemudian dibawa ke Malaysia oleh ibunya dari Filipina.

Ibunya mengahwini secara sah bapa kanak-kanak itu, seorang lelaki warga tempatan berusia 55 tahun, pada Feb 2011, lima bulan selepas kanak-kanak itu dilahirkan dan keluarga berkenaan kini tinggal bersama di Malaysia.

Ujian DNA menunjukkan lelaki itu bapa kandung. Penjagaan dan kawalan kanak-kanak itu di letakkan di bawah pasangan berkenaan bagaimanapun, permohonan kanak-kanak itu untuk mendapatkan kewarganegaraan tidak diluluskan pada Sept 2012.

Berikutan itu, satu saman pemula difailkan menerusi bapanya di Mahkamah Tinggi pada 2016, dengan menamakan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Ibu bapa kanak-kanak lelaki berkenaan memohon mahkamah mengisytiharkan anak mereka rakyat Malaysia dan mengarahkan pihak berkuasa mendaftarkannya sebagai seorang warganegara.

Pada 23 Ogos 2017, Mahkamah Tinggi menolak saman tersebut dan memutuskan anak itu tidak layak memperoleh kewarganegaraan mengikut undang-undang kerana pada masa kelahirannya, ibunya bukan warganegara Malaysia.

Rayuannya turut ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 14 Feb 2019. Dia mendapat kebenaran merayu kepada Mahkamah Persekutuan pada 15 Okt 2019 bagi membolehkan empat isu perundangan dalam kes itu diputuskan.

Peguam Cyrus Das, yang hadir bagi pihak kanak-kanak itu, berhujah satu-satunya syarat bagi seseorang yang dilahirkan di luar negara layak mendapat kerakyatan Malaysia ialah si bapa warganegara Malaysia ketika dia dilahirkan.

Das, yang hadir bersama peguam Sharmini Thiruchelvam dan Francis Pereira, berkata jika anak luar nikah dikecualikan daripada mendapat kewarganegaraan, penggubal Perlembagaan ayat secara jelas menyatakan pengecualian tersebut.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan berhujah Perlembagaan tidak membenarkan anak luar nikah yang dilahirkan oleh ibu bukan warganegara untuk mendapatkan kewarganegaraan Malaysia, berdasarkan undang-undang.

Beliau berkata, pengesahan lanjut taraf kanak-kanak itu seterusnya tidak mengubah status kelahiran anak itu.

“Jelas bahawa walaupun bawah Seksyen 4 Akta Kesahtarafan, perkahwinan ibu bapa berikutnya hanya akan mengesahkan taraf anak itu dari tarikh perkahwinan,” katanya.

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/05/28/mahkamah-persekutuan-perintah-anak-luar-nikah-tidak-layak-dapat-kewarganegaraan/

COMMENTS