Mahkamah benarkan gambar, video kes bunuh Syed Danial dimainkan

Mahkamah benarkan gambar, video kes bunuh Syed Danial dimainkan

Mahkamah benar gambar, video kes bunuh Syed Danial dimainkan.Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat membenarkan video dan gambar kejadian nahas pada perbicaraan kes bunuh Syed Muhammad Danial Syed Syakir dimainkan dalam prosiding seterusnya.

Hakim Julia Ibrahim menyatakan perkara itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Aidatul Azura Zainal Abidin untuk menangguhkan soalan tambahan berkaitan barang kes tersebut.

Semasa prosiding, Aidatul Azura berkata, cakera padat (CD) asal yang mengandungi video dan gambar kejadian nahas tidak dibawa ke mahkamah memandangkan pegawai forensik yang melakukan analisa terhadap video tersebut belum dipanggil memberi keterangan di mahkamah.

Mahkamah

“Pihak pendakwaan memelihara keselamatan barang-barang kes itu Yang Arif, ia tidak boleh dibawa begitu sahaja jika saya tak bercadang membukanya.

“Saya mohon direkodkan, untuk menyambung pemeriksaan utama berhubung CD dan gambar berkenaan, antaranya tempat kejadian dan orang-orang yang ada di sekitar kejadian pada tarikh yang akan datang,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan itu dan meneruskan prosiding dengan pemeriksaan balas oleh peguam, Wee Choo Keong yang mewakili tertuduh terhadap saksi keenam, seorang juruteknik, Bahanizam Hasan, 54.

Choo Keong: Setuju dengan cadangan saya, ketika memandu, encik perlu fokus dengan memandang di hadapan jalan, bagi mengelak sebarang nahas.

Bahanizam: Setuju.

Choo Keong: Setuju atau tidak, semalam encik beri keterangan, Perodua Axia mengubah haluan dari kanan ke tengah, ia tidak mengejutkan tetapi agak rapat sehingga menyebabkan pemandu Toyota Innova membunyikan hon.

Bahanizam: Setuju.

Choo Keong: Setuju atau tidak, kebiasaan pemandu kereta akan lihat cermin tepi dan belakang sebelum masuk ke lorong lain sama ada mahu ke kiri atau kanan?

Bahanizam: Setuju.

Choo Keong: Setuju atau tidak Perodua Axia memandu untuk bahayakan pengguna jalan raya lain?

Bahanizam: Tidak setuju.

Choo Keong: Jadi kenapa dia tiba ubah lorong?

Bahanizam: Sebab dia beri laluan kereta Honda Accord meluncur laju dari belakangnya.

Choo Keong: Ini adalah kesimpulan peribadi encik sahaja.

Bahanizam: Tidak setuju.

Choo Keong: Jadi apa yang encik gunakan untuk tentukan analisa bahawa pemandu Perodua Axia masuk haluan tengah?

Bahanizam: Analisa itu tidaklah.

Pada 22 Ogos 2019, Yew Wei Liang yang bekerja dalam bidang IT, didakwa membunuh Syed Muhammad Danial Syed Syakir yang dikatakan berlaku di Kilometer 293.6, Lebuhraya Utara Selatan pada jam 1 petang hingga 2 petang pada 10 Ogos tahun sama.

Prosiding bersambung 16 November depan.

Baca :DUN Sarawak di bubar berkuat kuasa 3 November

COMMENTS