MAHB catat peningkatan kerugian kepada RM221.3 juta

MAHB catat peningkatan kerugian kepada RM221.3 juta

Kerugian bersih Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) meningkat kepada RM221.30 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2021 daripada RM20.39 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Perolehan merosot 63.9 peratus kepada RM336.91 juta daripada RM933.84 juta sebelum ini seiring penguncupan ketara pergerakan penumpang sebanyak 76.9 peratus akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang panjang dan sekatan perjalanan antara negeri, demikian menurut pengendali lapangan terbang itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Jumaat.

Di bawah suku yang dikaji, perolehan daripada segmen operasi lapangan terbang dan penerbangan masing-masing turun sebanyak 66.7 peratus dan 71.6 peratus kepada RM291.9 juta dan RM142.6 juta.

“Trafik penumpang bagi operasi Malaysia menguncup ketara sebanyak 90.8 peratus (antarabangsa: -96.6 peratus, domestik: -85.3 peratus) kepada 1.7 juta penumpang pada suku pertama tahun kewangan 2021 berbanding 18.4 juta penumpang yang dicatatkan pada suku pertama tahun kewangan 2020,” katanya.

MAHB berkata, trafik penumpang bagi operasi Turki berkurangan 40.8 peratus (antarabangsa: -55.6 peratus, domestik: -31.8 peratus) kepada 4.2 juta penumpang daripada 7.1 juta penumpang yang dicatatkan pada suku pertama tahun kewangan 2020.

“Segmen bukan penerbangan turun 60.2 peratus tahun ke tahun kepada RM149.3 juta, terutamanya disebabkan hasil bebas cukai dan hasil sewaan komersial yang lebih rendah akibat penurunan mendadak penumpang antarabangsa.

“Perolehan daripada operasi bukan lapangan terbang turun 19.8 peratus tahun ke tahun atau RM11.1 juta akibat perolehan lebih rendah daripada perniagaan hotel serta projek dan penyelenggaraan pembaikan,” katanya.

MAHB berkata, secara keseluruhan, perolehan daripada operasi Malaysia dan Turki telah menyusut dengan ketara, masing-masing sebanyak 75.2 peratus kepada RM163.4 juta dan 39.5 peratus kepada RM152.2 juta, manakala operasi di Qatar merekodkan sedikit penurunan dalam perolehan iaitu daripada RM22.0 juta kepada RM21.3 juta.

Mengenai unjurannya, MAHB berkata, pemulihan trafik akan terus bergantung kepada keberkesanan pelaksanaan vaksin dan tahap sekatan perjalanan.

Katanya, pas perjalanan kesihatan digital dan prosedur perjalanan yang lebih selaras di seluruh negara dapat menggalakkan perjalanan rentas sempadan dan menyokong pemulihan perjalanan yang selanjutnya.

“Bagaimanapun, langkah utama adalah tahap pengawalan kes Covid-19,” katanya.

Sementara itu, MAHB akan terus mengambil langkah awal untuk mengurangkan kesannya dengan melaksanakan pelan mengoptimumkan kos yang agresif, katanya.

“Sehingga 31 Mac 2021, kumpulan ini telah mencapai pengurangan perbelanjaan operasi teras sebanyak 22 peratus berbanding suku pertama tahun kewangan 2020,” menurut MAHB. –
Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/141016/BISNES/Kerugian-bersih-MAHB-meningkat-kepada-RM22130-juta

COMMENTS