Mahathir kaki cari gaduh, Anwar lebih mencari perdamaian – Husam

Mahathir kaki cari gaduh, Anwar lebih mencari perdamaian – Husam

Hasrat untuk mencapai Malaysia Baharu akan terencat jika memilih pemimpin yang mengamalkan politik permusuhan seperti Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Naib Presiden AMANAH, Senator Datuk Husam Musa berkata, karakter pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkenaan berbeza dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Politik berseteru ini lawan kepada politik penyatuan. Pada pendapat saya, Tun Mahathir telah meletakkan dirinya dalam kategori pemimpin cari gaduh.

“Dalam keadaan transisi begini, kita kena ada pemimpin yang cari damai tetapi prinsip-prinsip dan parameter utama kena dihormati seperti mandat rakyat yang diberi kepada Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya lepas.

“Karakter Anwar Ibrahim sebagai pemimpin boleh memaafkan orang dan boleh terima Tun Mahathir sebagai Pengerusi PH dan Perdana Menteri walaupun pernah penjarakannya.

“Dalam mesyuarat PH yang terakhir, Anwar kata teruskan Tun, jangan fikir nak berhenti, saya (Anwar) akan sokong sampai habis. Itu karakter Anwar,” tegas Husam.

Bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Kelantan itu berkata demikian dalam temubual bertajuk Malaysia Baharu menerusi GHB Media TV malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan tempoh untuk memberi peluang kepada Mahathir, 95, menerajui negara sekali lagi sudah tamat.

“Berilah peluang kepada rakyat Malaysia bebas dari cengkaman Tun Dr Mahathir. Saya lihat dari segi ekonomi, ‘time setting’ (penetapan masa) Tun Mahathir adalah abad lalu. Kita sekarang abad ke-21.

“Semasa Tun Mahathir jadi Perdana Menteri 22 bulan di bawah PH, dia adalah ‘old setting’. Dia tidak boleh sesuaikan dengan alaf baru,” katanya berterus terang.

Husam yang juga Ketua AMANAH Kota Bharu menyifatkan Mahathir ternyata tidak membalas dengan positif sikap politik Anwar sebelum ini.

“Kalau kita lihat kenyataan Mahathir terbaru dia takkan terima Anwar dan Najib. Ahli Umno dia boleh terima.

“Dia memisahkan diri daripada PH atas alasan Muhyiddin bawa keluar Bersatu dari PH.

“Dia sudah tubuhkan Pejuang tetapi tidak masuk kembali ke dalam PH. Dia kata Pejuang tiada kena-mengena dengan PH dan Perikatan Nasional (PN).

“Dulu dia buat alasan masalah Muhyiddin. Dia sekarang sudah ada parti baru, Jadi Presiden dan Pengerusi, kenapa tidak boleh bawa masuk Pejuang ke dalam PH, kalau dia jujur?” bidasnya.

Untuk rekod, Mahathir dalam video yang dimuat naik di Facebook rasminya pada minggu lalu berkata, tidak pernah memberi sokongan kepada mana-mana individu untuk menjadi Perdana Menteri.

Sehubungan itu, Husam berpendapat politik permusuhan seperti diamalkan Mahathir hanya menghalang usaha-usaha ke arah Malaysia Baharu demi kehidupan rakyat yang lebih baik.

Sebaliknya, Penasihat Biro Pilihanraya, Biro Komunikasi dan Biro Strategi AMANAH itu berkata, politik penyatuan paling diperlukan pada masa ini dalam usaha memulihkan ketidakstabilan politik yang dianggapnya sekarang ‘macam bumi tiada gunung’.

Justeru, Husam menempelak sikap Pengerusi Jemaah Penasihat Umno juga Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li yang tidak selaras dengan semangat politik penyatuan.

“Politik penyatuan ini boleh dilakukan dengan cara pihak-pihak yang lain menyokong PH dengan terma-terma tertentu.

“Ku Li tidak mahu bersama PH. Ini tidak membantu ke arah Malaysia Baharu. Dia seorang-seorang (dalam usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin), bagaimana hendak dapat sokongan?” soalnya.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Kelantan itu berkata, sepatutnya ada usaha dilakukan supaya Ku Li boleh berbincang dengan Anwar di bawah konsep politik penyatuan.

Bahkan, Husam yang dipecat keanggotaannya dalam Pas pada April 2016 itu juga berkata, bersedia untuk menerima parti diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang tersebut dalam membentuk penyatuan menjayakan hasrat Malaysia Baharu.

Walaupun mengakui tidak senang dengan prestasi menteri Pas pada masa ini, Husam menegaskan penyatuan politik perlu bagi membentuk negara yang lebih kuat dan membantu rakyat keluar dari kemelut ekonomi krisis pandemik Covid-19 ini.

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/husam-anggap-mahathir-pemimpin-cari-gaduh-anwar-cari-damai/

COMMENTS