Letak nama resepi seperti kes bunuh, Selebriti Masakan ini dikecam biadap

Letak nama resepi seperti kes bunuh, Selebriti Masakan ini dikecam biadap

Bekas personaliti televisyen popular, Maria Tunku Sabri sekali lagi mengundang kecaman apabila menggunakan nama menu masakan yang menyentuh sensitiviti masyarakat.

Perkara tersebut disuarakan oleh oleh seorang tukang masak professional, Cef Deedee menerusi satu perkongsian dalam Instagramnya.

Menerusi perkongsian tersebut, Maria dilihat menamakan masakannya sebagai ‘suami tembak isteri sumbat dalam tong sekali dengan sayur campur special’. Nama tersebut dipercayai merujuk tentang satu kes jenayah membabitkan kematian tragis seorang isteri yang dibunuh suami sendiri di Kota Tinggi, Johor baru-baru ini.

TANGKAP layar perkongsian dalam Instagram Maria Tunku Sabri berhubung menu masakannya yang dikecam teruk.
“Ambil kesempatan atas kesulitan. Perhatian kepada semua tukang masak di dunia. Jangan sesekali menggunakan nama dan tajuk resipi untuk konten anda berkaitan dengan seseorang yang mati dibunuh.

“Ini sangat biadab, tidak beretika, tidak berpelajaran dan tidak bermoral,” ujar Cef Deedee menerusi hantaran Instagramnya.

Menurut cef profesional itu lagi, seseorang itu tidak wajar menggunakan tajuk yang boleh membawa kenyataan seolah-olah menghina makanan kerana itu adalah rezeki.

“Memberi tajuk makanan ke atas kematian seseorang bukan bahan lawak. Jangan cari publisiti murahan,” ujarnya.

Menjengah dalam Instagram Maria, personaliti berusia 45 tahun itu dilihat telah menukar menu masakannya menjadi ‘sayur campur special sedih kes suami tembak isteri masuk dalam tong’.

Bagi yang mengikuti Instagram Maria pasti sedar bahawa dia sering menggunakan tajuk resipi yang unik kerana menggabungkan nama masakan dengan berita-berita semasa popular.

Pada ruangan komen, difahamkan Maria telah memadam segala kritikan negatif dalam video masakan tersebut dan hanya mengekalkan komen-komen positif.

Bagaimanapun menerusi sebuah komen yang dibalasnya, Maria menegaskan bahawa dia tidak mempunyai niat menghina sesiapa, sebaliknya perkara tersebut telah disalah tafsir oleh netizen.

“Saya tidak hina arwah (mangsa) pun,” ujarnya.

Ini bukan kali pertama Maria dikecam netizen kerana menggunakan menu masakan yang dianggap tidak sensitif.

Pada tahun lalu, bekas pengacara Jalan-Jalan Cari Makan itu dikecam netizen kerana menamakan menu masakannya sebagai ‘ikan siakap 3 rasa mati tertembak di sempadan Malaysia-Thai’ membabitkan satu kes tembakan maut seorang anggota PGA yang bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis oleh penyeludup.

Berita penuh :https://www.kosmo.com.my/2021/03/08/nama-masakan-kes-bunuh-maria-tunku-sabri-dikecam-biadab/

COMMENTS