Lelaki lalok dadah tak sedar kemaluan dikelar

Lelaki lalok dadah tak sedar kemaluan dikelar

Seorang penganggur berusia 47 tahun, terkejut apabila mendapati kemaluannya cedera dikelar, sejurus tersedar daripada pengaruh dadah, dalam kejadian di Bandar Baru Farlim, Ayer Itam di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata pihaknya menerima panggilan daripada mangsa pada jam 7.55 pagi semalam.

Katanya, mangsa yang juga bekas jurugambar, mendakwa berjumpa dengan kenalannya yang juga suspek wanita berusia 38 tahun di sebuah pejabat di kawasan itu pada jam 6.30 petang kelmarin.

“Dalam pertemuan itu, kedua-duanya mengambil dadah dan akibat khayal, mangsa tidak sedarkan diri sebelum mendapati kemaluannya berdarah sebaik tersedar selepas itu.

“Ketika sedar, mangsa mendapati suspek wanita yang juga penganggur itu sudah melarikan diri,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Soffian berkata, mangsa yang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) mengalami luka akibat hirisan yang tidak serius, disyaki dicederakan dengan objek tajam.

Katanya, mangsa yang kini ditahan dalam wad, didapati mempunyai rekod rawatan psikiatrik di HPP.

“Polis sudah merampas beberapa barangan dari tempat kejadian termasuk sebilah gunting yang dipercayai digunakan bagi mencederakan mangsa.

“Susulan itu, polis berjaya menahan suspek pada jam 9 pagi di Paya Terubong, di sini, semalam.

“Saringan kencing mendapati wanita itu positif Methamphetamine dan mempunyai tiga rekod berkait dadah. Dia kini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/11/754221/lalok-dadah-hingga-tidak-sedar-kemaluan-dikelar

COMMENTS