Lelaki kena penjara 2 tahun kerana ugut bunuh kakak sebab tak masak nasi…

Lelaki kena penjara 2 tahun kerana ugut bunuh kakak sebab tak masak nasi…

Padah mengugut mahu membunuh kakaknya kerana tidak memasak nasi, seorang buruh dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan, hari ini.

Majistret Kamarul Hasyme Rosli menjatuhi hukuman itu selepas tertuduh, Mohammad Shafiq Romly, 33, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan ugutan jenayah dengan menakutkan Mahsuri Romly, 37, untuk membunuh mangsa dan keluarga.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Kubur Tok Pah, Kampung Jambu, di Kota Bharu pada jam sembilan malam, 17 Mac lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Edabayu Subhan, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Atikah Abd Halim.

Menurut fakta kes, Mohammad Shafiq mengamuk dengan memaki hamun serta mengugut pengadu dengan berkata ingin membunuhnya dan ahli keluarganya kerana tidak masak nasi sebaik tertuduh bangun dari tidur.

Terdahulu, Siti Edabayu memohon hukuman setimpal mengambil kira hubungan tertuduh dengan mangsa pada masa akan datang.

Sementara itu Siti Atikah dalam rayuannya memohon hukuman minimum dikenakan kerana percaya tertuduh sudah insaf akan kesalahannya.

“Saya yakin tertuduh sudah insaf dan tidak akan mengulangi kesalahan itu. Saya juga memohon hukuman bermula dari tarikh ditangkap,” katanya.

Mahkamah kemudiannya menjatuhi hukuman penjara dua tahun bermula dari tarikh tertuduh.

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/568887

COMMENTS