Lelaki dedah pengalaman jadi masuk bangunan ‘berhantu’

Lelaki dedah pengalaman jadi masuk bangunan ‘berhantu’. Usah melihat bangunan warisan sebagai lokasi menjejak ‘hantu’ sebaliknya hormati ia sebagai salah satu sumber penting dalam sejarah menceritakan kisah kehebatan masyarakat terdahulu.

Menurut Arkitek dan Perunding Konservasi Bangunan Warisan, Kamarudin Md Said, bangunan lama sewajarnya dihargai kerana ia boleh menjadi bukti kepada tingginya pengetahuan orang dahulu dalam seni bina bangunan sehingga melangkaui teknologi yang tidak pernah wujud di zaman itu.

“Selama 25 tahun menjadi ‘orang pertama’ yang masuk untuk memeriksa bangunan warisan dan sejarah, tidak terbit rasa gerun terhadap ‘gangguan’ paranormal atau kisah mistik kerana lebih tertarik dengan kehebatan orang dahulu dalam membina rumah atau bangunan.

“Saya teruja setiap kali berada di tapak atau mendapat tugasan baru bagi memeriksa bangunan lama kerana seolah-olah saya merentas untuk kembali ke zaman lalu.

“Malah, saya akan meneliti setiap inci bangunan bermula dari pintu masuk sehinggalah ke penjuru dan segenap sudut bangunan untuk mengetahui kisah di sebalik bangunan itu dengan lebih mendalam.

Lelaki dedah pengalaman jadi masuk bangunan 'berhantu'

“Pengamatan saya, bangunan warisan menjadi bukti paling nyata mengenai manifestasi kehebatan orang dahulu dalam pengetahuan seni bina.

“Tidak setakat itu, bangunan warisan juga menunjukkan sosial budaya masyarakat yang wujud pada zaman ia dibina dan diperlihatkan menerusi perincian atau aspek estetik selain menjadi struktur yang kukuh dan bertahan bertahun lamanya,” katanya.

Pembabitan beliau bermula pada tahun 1990 itu juga dilihat antara perintis terawal dalam bidang konservasi bangunan warisan kerana tiada rujukan atau kepakaran yang wujud ketika itu.

“Tugas pertama saya adalah menyambung tugas arkitek sebelumnya dalam kerja memulihara bangunan The Stadthuys sebaik berpindah ke Melaka dari Kuala Lumpur pada tahun 1990.

“Minat bercambah ketika melakukan kajian mengenai tugas konservasi atas bangunan terbabit. Dalam proses mengubah suai bangunan bata merah itu menjadi muzium, saya menyedari terdapat beberapa spesifikasi kerja pemuliharaan bangunan itu tidak menepati standard yang sepatutnya.

“Saya terpaksa membuat keputusan berdasarkan penilaian sendiri dan merujuk kepada arkitek luar kerana Jabatan Warisan Negara masih belum wujud. Bangunan warisan diletakkan di bawah Jabatan Muzium dan Entikuiti pada ketika itu,” katanya.

Mengakui jiwanya begitu dekat dalam kerja memulihara bangunan warisan kerana kerjanya itu juga membabitkan tugasan merungkai misteri kebijaksanaan dan daya kreativiti pereka atau tukang rumah lama.

“Kebijaksanaan orang terdahulu tidak terjangkau dengan teknologi atau kepakaran orang sekarang kerana pembina atau tukang buat rumah dahulu ada kalanya membina ruang yang tidak dijangka dalam sesebuah bangunan.

“Ada kalanya ketika kerja memeriksa bangunan lama bersama pasukan, kami menjumpai ruang-ruang tersorok dan tertutup yang tidak terungkai fungsinya serta menemui barang atau benda yang pelik sehingga menjadi misteri buat kami.

“Salah satu pengalaman kami membabitkan satu projek pemeriksaan banglo lama atas permintaan pemiliknya menemukan kami kepada kewujudan terowong tersembunyi di sudut ruang bawah rumah dengan menggunakan teknologi Radar Menembusi Tanah (Ground Penetrating Radar- GPR).

“Pengalaman inilah membuatkan saya ‘jatuh cinta’ dengan tugas atau kerja-kerja memulihara bangunan warisan. Ia membantu mendekatkan jurang generasi yang berbeza zaman apabila generasi masa sekarang dapat melihat cara pemikiran orang dahulu yang lebih kehadapan menerusi seni bina bangunan,” katanya.

Tambah beliau lagi, bangunan warisan juga menjadi bukti kekuatan perjuangan orang terdahulu setanding dengan golongan penjajah selain simbol penyatuan pelbagai bangsa.

“Banyak elemen golongan muda boleh pelajari daripada bangunan warisan apabila bercerita mengenai semangat patriotisme.

“Contohnya kekuatan pejuang dahulu yang bina benteng pertahanan menentang Portugis, kota yang mereka bina menggunakan dinding batu ditutup dengan tanah dan rumput setanding tembok batu merah atau batu lada digunakan pihak lawan.

“Selain itu pengaruh percampuran budaya seperti yang berlaku pada sesetengah bangunan termasuk Masjid Lama Kampung Manchap yang memiliki lukisan flora pada tiang dan dinding seperti binaan pada tokong Cina antara bukti keharmonian rakyat berbilang kaum.

“Atas faktor itu juga saya berharap pelbagai peringkat masyarakat ada kesedaran untuk memelihara dan memulihara bangunan warisan.

“Tidak semestinya bangunan warisan ini hanya tertumpu untuk dijadikan galeri atau muzium semata-mata, sebaliknya boleh dinaik taraf penggunaan bangunan itu kepada sesuatu yang memiliki nilai komersial atau dimanfaatkan oleh komuniti setempat,” katanya.

Sehingga hari ini lebih 50 projek pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan warisan dilakukan beliau bersama pasukannya di serata Semenanjung Malaysia.

BACA:

Duduk hotel tapi kena cuci gelas dan pinggan sendiri

Gara-gara bantu bela anak luar nikah kawan, wanita berdepan hukuman penjara

Majikan tersilap masuk gaji RM800 ribu, pekerja terus letak jawatan