Lagi pencemaran sungai dikesan, tindakan pantas kerajaan S’gor berjaya elak gangguan air

Lagi pencemaran sungai dikesan, tindakan pantas kerajaan S’gor berjaya elak gangguan air

Kerajaan Selangor mengesan 2 insiden pencemaran sungai di negeri itu selepas menerima aduan semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian berkata, tindakan segera diambil bagi mengawal pencemaran di lembangan Sungai Selangor dan Sungai Langat, sekali gus berjaya mengelak daripada berlakunya gangguan air di Lembah Klang.

“Kedua-dua insiden semalam berjaya ditangani segera oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Air Selangor, Perbadanan Putrajaya PPJ serta agensi terlibat. Tiada gangguan bekalan air kepada pengguna,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, insiden pertama melibatkan pencemaran bau sehingga 10 ton yang dikesan di Sg Kundang pada jam 10.45 pagi berikutan pemantauan 24 jam dalam Ops Statik di Sg Gong, Rawang.

“Siasatan awal pihak LUAS mendapati pencemaran bau yang dikesan adalah daripada bahan biodiesel dan mencatatkan keputusan melebihi 10 ton pada aliran yang dilaporkan di kawasan yang disyaki di kawasan Industri Kundang Jaya.

“Siasatan lanjut pihak LUAS bersama pihak AIR Selangor ke sebuah premis yang disyaki, mendapati bau yang sama sehingga 10 ton dikesan di pelepasan akhir premis berkenaan.

“LUAS telah mengeluarkan surat arahan di bawah Seksyen 121(1), Enakmen LUAS 1999 kepada premis terbabit untuk menghentikan discaj efluen serta-merta dan melaksanakan tindakan pembersihan segera,” katanya selain memaklumkan bahawa proses nyah bau turut dijalankan.

Loy Sian berkata, insiden kedua melibatkan tumpahan minyak diesel ke dalam Tasik Putrajaya sekitar jam 9.35 pagi disebabkan kebocoran skid tank paip saluran bawah tanah Institut Kanser Negara (IKN), Putrajaya.

“Siasatan mendapati minyak diesel mengalir ke longkang IKN dan masuk ke Tasik Putrajaya. Perbadanan Putrajaya (PPJ) telah mengarahkan pihak IKN untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan dengan segera bagi mengelakkan kejadian menjadi lebih teruk.

“Beberapa langkah mitigasi dijalankan oleh pihak IKN merangkumi pembaikan paip sambungan, meletakkan ‘oil pad’ dan ‘oil boom’ pada sistem saliran dan menyedut minyak yang telah bercampur.

“Insiden ini berpotensi mencemarkan Sg Langat dan juga menyebabkan henti tugas LPA Bukit Tampoi yang terletak di bahagian hilir anggaran 10km dari ‘spillway’ tasik berkenaan.

“Pihak LUAS telah memohon kerjasama PPJ untuk meletakkan ‘oil boom’ di kawasan ‘spillway’ Tasik Putrajaya ke Sungai Langat bagi mengelakkan pencemaran berlarutan,” katanya.

Sebanyak 8 kali masalah gangguan bekalan air tidak berjadual dilaporkan di Lembah Klang sehingga Oktober tahun ini.

Terbaharu sebanyak 1,196,457 pemegang akaun Air Selangor di 1,292 kawasan mengalami gangguan selepas LRA di Sungai Selangor dihenti tugas ekoran pencemaran bau sejak Isnin.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/10/23/dua-insiden-pencemaran-sungai-dikawal-tiada-gangguan-air-di-lembah-klang-kata-exco-selangor/

COMMENTS