Konsert Tribute hambar, ini luahan rasa Jamal Abdillah

Konsert Tribute hambar, ini luahan rasa Jamal Abdillah. Jauh di sudut hatinya, terbit rasa terkilan apabila Konsert Tribute Seniman Negara Datuk Seri Ahmad Nawab yang dianjurkan syarikatnya, Bin Jamal Event Sdn Bhd di Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur, awal bulan ini, kurang mendapat sambutan.

Sebagai penerbit, Datuk Jamal Abdillah mengakui sambutan terhadap konsert tiga malam berturut-turut itu tidak seperti yang diharapkan biarpun membariskan penyanyi popular.

Namun, Jamal enggan menuding jari kepada mana-mana pihak dan menganggap sambutan dingin terhadap konsert itu berpunca daripada kesuntukan masa melakukan promosi.

“Kehadiran penonton untuk tiga malam itu kira-kira 60 peratus sahaja. Ketika tawaran menganjurkan konsert ini diberi, saya ada masa kira-kira dua bulan sahaja sebelum acara berlangsung.

“Saya terima tanggungjawab itu biarpun agak singkat, selain belum mendapat bajet diperuntukkan.

“Cuma, saya ralat kerana jika diberi tempoh yang agak panjang, mungkin konsep acara akan lebih menarik,” katanya kepada BH Online pada majlis Santai Bersama FMC di sebuah hotel di ibu negara, baru-baru ini.

Ditanya apa yang akan diperbaiki jika berpeluang menganjurkan konsert ‘tribute’ kepada maestro muzik itu sekali lagi, penyanyi bervokal ‘jantan’ ini berkata, tumpuannya adalah kepada pengisian.

“Andai dapat diberi peluang itu, apa yang ingin saya perbaiki adalah dengan membuat penambahan senarai artis yang membuat persembahan.

Konsert Tribute hambar, ini luahan rasa Jamal Abdillah

“Kita semua tahu yang Bang Mat (Ahmad Nawab) mempunyai ramai anak didik. Jadi, kalau ada peluang dan mendapat peruntukan yang lebih banyak, bolehlah kita panggil lebih ramai anak didiknya untuk sama-sama buat persembahan.

“Bagaimanapun, saya bersyukur konsert itu lancar. Walaupun tidak dapat untung banyak, tetapi saya tidak rugi.

“Apa yang penting, ramai yang dapat lihat seorang legenda seperti Ahmad Nawab diraikan ketika masih hidup. Selalunya, apabila seseorang itu sudah tiada, barulah kita hendak menghargainya,” luah penyanyi lagu Penghujung Rindu ini.

Konsert Tribute Seniman Negara Datuk Seri Ahmad Nawab menampilkan Datuk Khatijah Ibrahim, Shidee, Ramlah Ram dan Wany Hasrita itu dibawa bersama oleh Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) serta IB.

Baru-baru ini, Jamal membuat kejutan apabila muncul dalam sebuah program realiti nyanyian yang turut disertai anaknya, Zaki Yamani.

Kemunculan menerusi penampilan video itu berjaya membuatkan Zaki mengalirkan air mata, sekali gus menerbitkan perasaan kepada penonton.

Mengulas perkara itu, penyanyi yang mendapat jolokan Raja Pop ini mengakui situasi itu berlaku kerana mereka sudah lama tidak berjumpa.

“Saya dan Zaki memang sudah lama tidak berjumpa. Mungkin keadaan itu yang membuatkan dia sebak hingga menangis.

“Tapi saya tak nak salahkan sesiapa. Saya juga tidak mahu ada masalah dengan anak-anak. Apa yang saya ingin khalayak tahu, sebagai bapa kasih sayang terhadap anak-anak tidak pernah berbelah bahagi,” katanya.

Ditanya adakah mereka pernah berbicara dari hati ke hati mengenai konflik yang berlaku seperti yang pernah kecoh sebelum ini, Jamal berkata, Zaki masih terlalu muda untuk memahaminya.

“Keadaan kami hari ini menyukarkan untuk perkara itu berlaku. Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya tak mahu salahkan sesiapa.

“Lagipun dia masih muda untuk memahami segala-galanya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Jamal baru melancarkan single baharu berjudul Ku Cuma hasil paduan suara bersama Wany Hasrita.

Berkongsi keterujaan merakamkan lagu berkonsepkan nasihat itu, Jamal mengaku Wany antara penyanyi yang cukup serasi untuk digandingkan dengannya.

“Selepas merakamkan lagu Belenggu Rindu, saya dapat rasakan Wany memang serasi dengan saya. Namun, itu tidak bermakna saya menolak untuk berduet dengan penyanyi lain.

“Sebagai penyanyi, saya sangat seronok kerana dengan pembikinan single sebegini akan membuatkan saya terus relevan dalam arus muzik semasa,” kata yang kini dalam persiapan menganjurkan konsert solo sempena empat dekad pembabitannya dalam bidang nyanyian yang tertangguh sebelum ini.

BACA: 

Isu tuntutan waris Sulu, Najib terus salahkan kerajaan PH

Tidak lagi pertahan, Afdlin kini sokong kelab komedi ditutup kerana sebab ini