KKM tetap enggan kongsi data Covid-19 dengan Selangor – Menteri

KKM tetap enggan kongsi data Covid-19 dengan Selangor – Menteri

Kementerian Kesihatan enggan berkongsi data mentah (raw data) mengenai Covid-19 dengan pihak lain termasuk kerajaan negeri Selangor kerana kejadian masa lalu yang tidak diingini, yang tidak dijelaskan secara terperinci.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba, dalam jawapan parlimen, mendakwa tafsiran berbeza terhadap maklumat ini boleh menyebabkan kekeliruan dan orang ramai menjadi panik.

“Disebabkan juga oleh beberapa insiden tidak diingini yang telah berlaku sebelum ini berhubung pengurusan data mentah (raw data), KKM tidak dapat memenuhi permintaan sesetengah pihak untuk mendapatkan akses kepada data mentah Covid-19.

“Ia bagi mengelakkan risiko tafsiran data yang bertentangan atau tidak seragam oleh pelbagai agensi yang terlibat, yang berkemungkinan menyebabkan masyarakat menjadi panik dan bercelaru akibat maklumat yang disampaikan,” kata menteri menjawab pertanyaan lisan Dr Dzulkefly Ahmad (Pakatan Harapan-Kuala Selangor).

Dzulkefly, yang juga pengerusi pasukan petugas khas Selangor untuk Covid-19 (STFC) meminta menteri kesihatan menyatakan kesediaan kementerian itu “menjalinkan kerjasama perkongsian data antara wilayah khususnya di Selangor dalam menangani gelombang ketiga semasa sepertimana yang pernah dilakukan sebelumnya dengan kerjasama erat dan perkongsian data antara KKM, MKN dan Pusat Operasi Kerajaan Negeri Selangor.”

STFC telah memohon supaya Selangor diberikan data Covid selama enam bulan, kata Dzulkefly yang juga bekas menteri kesihatan.

Pada 19 Oktober, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata permintaan berkenaan tidak dapat dipenuhi, menjelaskan ia bagi memastikan interpretasi data diseragamkan.

Sementara itu, Exco Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud (gambar, bawah) dipetik Sinar Harian berkata, kerajaan negeri berasa sedih dengan keputusan KKM itu.

Katanya, ini memandangkan data yang diminta berkenaan tidak melibatkan sebarang privasi mana-mana pihak.

Kerajaan Selangor, sebelum ini berhasrat mengintegrasikan sistem aplikasi negeri SELangkah dan MySejahtera, kata Mariah pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

“Bagaimanapun, KKM menyatakan bahawa data itu tidak dapat dikongsikan berikutan dibimbangi akan disalah tafsir.

“Jadi kita ibarat seperti dalam keadaan buta, tak ada maklumat untuk bantu cegah penularan wabak ini,” jelasnya.

Menurut exco Selangor itu lagi, tanpa data tersebut kerajaan negeri terpaksa ‘meneka-neka’ dan sukar untuk menjawab sekiranya rakyat bertanya tentang sesuatu kejadian atau statistik.

“Tujuan kita minta data adalah untuk bantu kesan jumlah kes dan bekerjasama dengan penduduk untuk buat kempen bagi memastikan mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya.

Berita penuh : https://m.malaysiakini.com/news/549449

COMMENTS