KKM letak 6 syarat kalau nak balik raya tahun ini

KKM letak 6 syarat kalau nak balik raya tahun ini

Kerinduan untuk pulang ke kampung meraikan hari raya Aidilfitri mungkin terubat jika orang ramai menunjukkan kepatuhan tinggi kepada prosedur operasi standard (SOP) secara berterusan.

Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), tidak mustahil kemeriahan balik kampung untuk menyambut hari raya akan dirasai tahun ini jika perkara itu boleh dilakukan.

Jelasnya, KKM mengkaji semua data dan fakta sebelum menasihat atau mencadangkan kepada Jawatankuasa Teknikal untuk diputuskan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN), termasuk berhubung kebenaran rentas negeri.

“KKM membuat penilaian risiko ini dari semasa ke semasa. Situasi semasa menunjukkan kes baharu dalam trend penurunan walaupun tidak konsisten, namun masih terlalu awal.

“Memandangkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan baru saja berjalan, aktiviti kesihatan awam adalah paling berkesan untuk melandaikan keluk jangkitan.

“Jika kepatuhan yang tinggi kepada SOP yang ditunjukkan oleh kita semua ketika ini berterusan, tidak mustahil kemeriahan balik kampung untuk menyambut Aidilfitri akan dirasai tahun ini.”

Namun apakah itu penilaian risiko?

Secara ringkasnya, penilaian dengan melihat situasi jangkitan semasa dan kebarangkalian penularan jangkitan menjadi lebih teruk atau sebaliknya.

Mengulas mengenai penilaian risiko, KKM menggariskan enam indikator yang untuk membolehkan kementerian itu menasihati atau mencadangkan sesuatu perkara kepada Jawatankuasa Teknikal.

Enam faktor yang menjadi indikator KKM ialah:

1. Situasi kes harian termasuk kes yang sudah sembuh dan dibenarkan pulang

2. Trend dan kadar kebolehjangkitan

3. Situasi semasa iaitu kadar kematian dan jumlah kes kematian

4. Keupayaan katil dan wad Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital

5. Situasi semasa petugas kesihatan yang dijangkiti dan

6. Ujian saringan yang dijalankan di lapangan, saringan penyakit seperti influenza (ILI), jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) dan persampelan prapembedahan serta kemasukan ke wad.

Perkara itu dimaklumkan KKM menerusi kemas kini di akaun Facebook rasminya hari ini.

Sumber Facebook kementeriankesihatanmalaysia

Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sekiranya trend penurunan kes harian COVID-19 berterusan, kemungkinan rentas negeri boleh dibenarkan dengan penilaian risiko daripada KKM dan rakyat boleh pulang beraya di kampung, tahun ini.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/boleh-balik-raya-jika-kepatuhan-sop-tinggi-ini-6-indikator-penilaian-risiko-kkm-289184

COMMENTS