KKM hanya arah beberapa kru dan artis terlibat separuh akhir Muzik-Muzik jalani ‘Swab Test’

KKM hanya arah beberapa kru dan artis terlibat separuh akhir Muzik-Muzik jalani ‘Swab Test’

Tidak semua artis dan kru produksi program Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-35 (SFMM35) diminta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menjalani ujian swab.

Penerbit Eksekutif Muzik Muzik 35, Nurul Huda Khalid berkata, KKM menyenaraikan beberapa nama kontak rapat penyanyi Alif Satar yang disahkan positif Covid-19 semalam pada hari pertama SFMM35 untuk menjalani ujian swab dan kuarantin selama 14 hari.

“Senarai nama yang diberikan KKM untuk artis dan kru produksi menjalani ujian saringan tidak ramai. Ia cuma membabitkan beberapa penyanyi pada hari pertama SFMM35 serta kru belakang pentas.

“Namun, kami mengambil langkah berjaga-jaga dengan meminta semua pihak yang terbabit pada acara ini untuk menjalani kuarantin diri di rumah selama 14 hari selain ada artis yang mengambil inisiatif membuat ujian swab semalam,” katanya.

Menurut Nurul Huda, tarikh baharu untuk hari ketiga SFMM35 masih belum ditetapkan namun akan dilakukan selepas tempoh kuarantin.

“Kita tunggu selepas tempoh kuarantin tamat. Kemungkinan hari ketiga SFMM35 akan dibuat pada hari Jumaat kerana pihak kami tidak mahu mengganggu slot hujung minggu program Vokal Mania dan Lagu Cinta Kita,” katanya.

Dalam pada itu, Nurul Huda meminta kepada mana-mana individu yang mengecam untuk berhenti menyalahkan Alif di atas apa yang berlaku.

“Janganlah salahkan dia sebab takkan dia nak membahayakan orang lain. Alif ada hubungi saya sebaik dia menerima keputusan itu. Dia menangis dan meminta maaf kerana tiada niat untuk menyusahkan semua orang. Apa yang berlaku ini sudah tertulis dan mengingatkan kita semua supaya lebih berhati-hati pada masa depan,” katanya.

Terdahulu, Alif membuat persembahan menerusi lagu I Want You To Love Me ciptaan Faizal Tahir, Ezra Kong, Romeo dan Mike Chan di SFMM35.

Bagaimanapun semalam Alif menerusi hantaran yang dimuat naik di Instagram mengesahkan dirinya positif Covid-19 selepas menjani ujian swab.

Berita penuh : https://www.hmetro.com.my/rap/2020/11/644952/hanya-beberapa-artis-kru-muzik-muzik-perlu-jalani-ujian-swab

COMMENTS