Kita nak bersetuju, tapi kita tidak tahu apa kandungan belanjawan – Tun M

Kita nak bersetuju, tapi kita tidak tahu apa kandungan belanjawan – Tun M

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang belum diluluskan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) sedia menyokong Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat 6 November ini.

Pengerusinya Dr Mahathir Mohamad berkata, bagaimanapun mereka perlu meneliti terlebih dahulu kandungan dalam belanjawan itu sebelum berbuat demikian.

“Kita nak bersetuju, tapi kita tidak tahu apa dia (kandungan dalam belanjawan). Takkan kita nak ‘sign blank cheque’, jadi kita nak tahu apa ada dalam belanjawan.

“Kerana ‘paper’ berkenaan dengan belanjawan ini tebal. Ada 2 bahasa…kita kena baca dulu,” katanya malam tadi.

Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan wakil Pejuang Langkawi.

Bekas perdana menteri itu diminta mengulas titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang menasihati ahli Dewan Rakyat supaya memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021 demi kesejahteraan rakyat serta pemulihan ekonomi negara yang terkesan akibat Covid-19.

Mahathir yang juga ahli Parlimen Langkawi berkata, menjadi tanggungjawab setiap ahli Parlimen meneliti sesuatu dokumen sebelum membuat keputusan menyokongnya di Dewan Rakyat.

Mengulas mengenai pendaftaran Pejuang yang masih belum diluluskan, beliau meminta JPPM menyatakan dengan jelas perkara diperlukan oleh jabatan itu untuk mengesahkan pendaftaran parti berkenaan.

“Beritahu apa yang tak lengkap, kita ini berpegang kepada undang-undang, kalau ada melanggar undang-undang kita akan betulkan,” katanya.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/11/01/belanjawan-2021-teliti-dulu-baru-sokong-kata-dr-m/

COMMENTS