Kisah misteri di sebalik tasik Yahuarcocha.

Kisah misteri di sebalik  tasik Yahuarcocha.

Tasik Yahuarcocha terletak tiga kilometer dari bandar utara Ibarra. Terletak pada ketinggian lebih tujuh ribu kaki dari aras laut, ia merupakan salah satu kawasan pelancongan yang terkenal di Ecuador.

Yahuarcocha bermaksud ‘tasik berdarah’ dalam bahasa Kichwa, bahasa utama yang diguna pakai oleh penduduk di kawasan Andes, Amerika Selatan.

Namun ramai tidak tahu di sebalik keindahan tasik seluas 257 hektar ini, ada sejarah hitam yang terpalit. Satu ketika dahulu, air tasik ini pernah berubah warna menjadi merah. Merah yang terhasil dari limpahan darah.

Tragedi bermula apabila raja ke-11 empayar Inca, Huayna Capac yang mahu meluaskan kuasa empayarnya ke wilayah kerajaan Quito.

Wilayah Quito yang terdiri daripada orang asli puak Pasto, Otavalo, Caranqui dan Cayambe menubuhkan satu pakatan tentera bersekutu yang dikenali sebagai ‘Pakatan Caranquis-Cayambe-Pasto’ bagi menghalang empayar Inca menakluki wilayah mereka.

Huayna Capac menggunakan tenteranya yang paling kuat dan handal untuk menguasai Quito. Namun percaturannya tidak menjadi dan peperangan ini berlangsung dalam tempoh yang berpanjangan.

Huayna Capac.
Tentera bersekutu Quito sedar mereka tidak cukup kuat untuk berdepan tentera Inca. Lalu mereka melakukan beberapa strategi bertahan dengan membina benteng-benteng pertahanan di sekitar wilayah Quito.

Pada tahun 1487 Masihi, Huayna Capac mengerahkan tenteranya menyerang benteng-benteng Quito. Serangan ini menyebabkan tentera bersekutu berundur dan mereka dikejar oleh tentera Inca sehingga ke tepi tasik Yahuarcocha.

Dan di tepi tasik ini, akhirnya pasukan bersekutu kalah dan ditawan oleh tentera Inca.

Huayna Capac telah mengarahkan tenteranya supaya menyembelih semua tawanan yang selamat terutama kaum lelaki. Mayat mereka yang disembelih itu dibuang ke dalam tasik Yahuarcocha. Dikatakan mangsa yang disembelih berjumlah antara 20 ribu hingga 50 ribu orang.

Pembantaian beramai-ramai itu menyebabkan seluruh kawasan permukaan air tasik ini berubah menjadi warna merah, hasil daripada darah mangsa-mangsa sembelihan.

Air tasik ini suatu ketika dahulu bertukar merah akibat pembantaian yang dilakukan raja Inca.
Ahli arkeologi sebelum ini pernah menemui serpihan tulang-tulang mangsa sembelihan di tasik ini. Juga ditemui kesan benteng pertahanan milik tentera Inca dan tentera bersekutu di kawasan gunung berapi, Pambamarca.

Siapa sangka, tasik yang indah ini pernah dicemari tumpahan darah demi seorang pemimpin yang rakus kuasa.

Sumber:https://utusantv.com/2021/05/11/kisah-berdarah-tasik-yahuarcocha-puluhan-ribu-manusia-disembelih-hingga-airnya-bertukar-merah/

COMMENTS