Kisah mangsa jejak scammer sampai dapat balik duit

Seorang scammer berputih mata selepas diberikan ‘checkmate’ oleh seorang pemuda yang ditipunya apabila terpaksa memulangkan wang kepada beliau dan sembilan mangsa lain.

Shahrul Ashraf Sallehuddin, 38, sedar betapa sukar menjejaki scammer apatah lagi mendapatkan balik wang daripada mereka.

Namun, beliau tidak putus asa sehingga berjaya mengesan scammer itu dan memaksanya memulangkan wang yang diambil daripadanya dan sembilan mangsa lain.

Scammer berkenaan menggunakan laman Facebook Issac Chooi untuk menawarkan penyaman udara terpakai dengan harga murah.

Tawaran itu menarik perhatian bapa kepada lima anak itu pada 25 Mei lepas, lalu menghubungi scammer tersebut untuk membeli penyaman udara berkenaan.

Bagaimanapun, selepas membuat bayaran, ‘penjual’ itu gagal dihubungi. Shahrul membuat laporan polis namun tidak berhasil mengesan scammer itu.

Kisah mangsa jejak scammer sampai dapat balik duit

“Polis memberitahu saya, kalau kena scam macam ni, memang tuan (Shahrul) tidak akan dapat balik duit, sebab tidak ada tindakan selanjutnya (dari polis) melainkan tuan ke tribunal. Itu sahaja,” beritahu Shahrul.

Pereka grafik bebas itu, tidak berputus asa, malah nekad mendapatkan duitnya kembali. Dia mula menjejak pemilik akaun bank syarikat itu menerusi laman Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Bila kita dah dapat maklumat dari SSM, dengan mudah kita akan dapat nama, alamat serta nombor kad pengenalan pemilik syarikat tersebut,” beritahunya.

Berbekal butiran lengkap scammer itu, Shahrul terus menghubunginya di aplikasi Whatsapp.

“Saya mula provok scammer itu. Saya hantar salinan SSM dan kad pengenalan tersebut kepada scammer itu dan ugut untuk membuat laporan polis supaya akaun banknya dibekukan.

“Saya juga cakap ‘lu scam salah orang’,” katanya.

Dalam tidak disangka, seorang individu menghubungi Shahrul dan memberitahu dia adalah pemilik kepada akaun bank tersebut. Dakwanya, akaunnya disalahguna orang yang tidak dikenalinya.

“Pemilik akaun bank itu berkata dia akur untuk membayar semula semua wang kami, sebab takut lima akaun banknya (yang lain) akan dibeku.

“Pemilik akaun itu bersungguh-sungguh kata dia pun mangsa. Kami tak percaya tapi kami layan sahaja sebab kami nak balik duit kami.

“Dalam masa dua hari, pemilik akaun itu membayar balik duit kami yang berjumlah RM8,580. Dia beritahu kami setakat ini dia sudah rugi RM16,000, tetapi tidak memberikan butiran lain,” ceritanya.

 

BACA JUGA :

Mana hilangnya tudung Nelydia Senrose?, Tular gambar baharu

Husam dedah kontraktor balak ‘anak beranak’ exco Kelantan?

Ayam dari Malaysia dijual pada harga RM70/kg di Singapura