Khalid pertahan Anwar, nafi laporan Amanah beri kata dua

Khalid pertahan Anwar, nafi laporan Amanah beri kata dua

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad, nafi laporan mendakwa partinya beri masa seminggu kepada Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional.

Khalid ketika dihubungi FMT berkata kedudukan Anwar sebagai ketua pembangkang dan usaha Pakatan Harapan untuk mengambil alih Putrajaya adalah dua isu berasingan.

Beliau menambah kedudukan ketua pembangkang ditentukan secara konsensus oleh semua parti komponen, bukan Amanah sahaja.

“Kami hargai kesediaan Anwar untuk mengambil tanggungjawab ke atas apa yang berlaku. Bagaimanapun, kami akan bincangkan langkah seterusnya secara bersama. Amanah tidak akan beri kata dua kepada rakan gabungan.

“Saya tak tahu siapa sumber berita itu. Media patut mengesahkan dakwaan ini dengan kepimpinan Amanah, terutama dengan pengarah komunikasinya,” katanya.

Terdahulu The Malaysian Insight melaporkan Amanah beri Anwar tujuh hari untuk menjatuhkan PN dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, namun tidak dinyatakan apakah akibatnya sekiranya presiden PKR gagal berbuat demikian.

Menurut sumber TMI, Amanah akan mendesak majlis presiden PH bersidang selepas tamat tempoh tujuh hari itu bagi menentukan hala tuju gabungan itu.

Katanya, terdapat perbezaan pandangan tentang tindakan yang akan diambil selepas tamat tempoh itu.

Belanjawan 2021 diluluskan di peringkat dasar melalui undian suara di Dewan Rakyat pada Khamis.

Ahli Parlimen Amanah, Mahfuz Omar bangun meminta undian dibuat secara belah bahagi namun gagal kerana hanya 12 wakil rakyat menyokong cadangan itu, daripada minimum 15 yang diperlukan.

Anwar kemudian memaklumkan beliau meminta Ahli Parlimen PH membenarkan rang undang-undang itu melepasi undian pusingan pertama tetapi akan meminta undi belah bahagi diadakan pada peringkat jawatankuasa.

Katanya, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu, mahu undian belah bahagi diadakan di peringkat dasar.

Pengerusi PH menjelaskan langkah itu bagi membolehkan wakil rakyat meneliti belanjawan secara terperinci, mengatakan Ahli Parlimen berhak mempersoalkan sebarang pindaan dan pengurangan.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/12/02/khalid-nafi-laporan-amanah-beri-anwar-kata-dua/

COMMENTS