Ketidaktentuan politik : Masihkah negara dan rakyat punya harapan masa depan?

Ketidaktentuan politik : Masihkah negara dan rakyat punya harapan masa depan?

Rasulullah (S.A.W) seolah-olah kembali menziarah umat dengan Maulidnya. Ya, bukan dengan susuk tubuh mulia baginda yang amat dirindui. Yang keramat dan sakti (sacred) itu, bukan juga pada tarikh keputeraan baginda.

Setiap tahun kita semarakkan rasa cinta terhadap Rasulullah dengan pelbagai tema sambutan yang molok-molok belaka.

Cabaran umat manusia kini ialah pandemik Covid-19 yang telah menelan lebih 1 juta nyawa. Pun begitu, ia bukan maudhu’ penulisan ini.

Fokus kali ini, buat diri ini dan semua golongan politikus khasnya, berkisar perihal amalan dan budaya politik.

Dalam kerinduan mengimbau kenangan kepimpinan Rasulullah, mungkin ada sesuatu yang perlu diambil iktibar buat Maulid 1442 H ini.

Sayugia diingatkan, tidak sesiapa pun yang tidak punya kekurangan atau bebas kelemahan, jauh lagi untuk ditanggapi ‘sempurna’, tidak seperti baginda Rasulullah yang maksum.

Namun, dalam serba ketidaksempurnaan itu juga, di atas bahu kita jugalah terletak penentu untuk membangun mahu pun menghancurkan bumi dan merosakkan negara-bangsa ini selaku kerajaan atau penyemaknya.

Mutakhir ini, cukup sudah gelagat kita semua disaksikan rakyat seluruhnya. Tidak ada yang terselindung lagi.

Pertarungan ide, polisi dan pelaksanaan dasar serta program, menjadi kunci penilaian keupayaan serta integriti buat rakyat, yang menuntut khidmat kita bersama.

Maka dalam kemelut kerosakan dan ketidaktentuan politik yang semakin kusut serta bersimpang-siur ini, masihkah negara dan rakyat punya harapan masa depan?

Ya, tentunya punya harapan, andainya kalau kita segera lakukan Islah dan penambahbaikan!

Cumanya jangan pula mencari penyelesaian pintas dengan berselindung di sebalik takhta. Ingat, tidak semuanya mudah diperkenankan baginda Agong.

Nah, justeru kerana sudah keterlaluan kebobrokan pentas politik di negara ini, buat kita yang beragama Islam, ada baiknya kita merenung sejenak akan ertinya ‘politik atau siasah” yang diterima akan lslam dan syariah. Kita tidak mahu kerja siasah kita ‘sia-sia’ di sisi AlLah.

Bayangkan bagaimana terkejutnya Rasulullah, seandainya baginda hadir bersama kita dewasa ini?

lmam lbn Uqail al-Hambali menyimpulkan siasah atau politik yang diterima lslam dan diharuskan Syariah itu:

“Siasah itu adalah perhitungan dan tindak-tanduk yang dibuat manusia sesama mereka, demi ‘mencapai kebaikan dan menjauhi kerosakan’, sekalipun tiada nas dari Rasul mahupun al-Quran tentangnya”.

Perlembagaan sejajar kehendak Islam

Dengan kata lain, tidaklah rumit dan sempit seperti difahami sedikit waktu dahulu, di mana Perlembagaan Persekutuan (FC) dikatakan mesti ‘bersyahadah dahulu’ dan FC ini mesti ditolak kerana digubal oleh seorang kafir, Lord Reid, sekali gus menjadi perlembagaan itu ‘Sekular” yang perlu ditolak.

Dewasa ini, kita lebih memahami bahawa FC itu jauh lebih bersejajaran dengan Islam, dari yang kita faham dahulunya!

Peruntukan-peruntukan FC, memberikan ruang yang luas untuk melaksanakan pelbagai tujuan-tujuan Syariah (Maqasid a-Syariah), sementara mendukung, meraikan serta mengiktiraf hak beragama pelbagai kaum dan budaya.

Itulah amalan siasah al-‘Adilah atau politik yang ‘Adil, dianjurkan Rasulullah dalam mengurus masyarakat Madinah yang lebih majmuk lagi di segi suku-kaum, kabilah, agama dan budaya, sehingga kota itu memancar cahaya llahi, menjadi Madina al-Munawarah.

Yang segera harus diinsafi adalah mengapa amalan siasah kita semakin mencetuskan pertentangan dan perbalahan, bukan sahaja di antara kaum dan agama, bahkan dalam satu-satu kaum dan agama?

Apakah kerana amalan politik kita semakin amat bertentangan dengan erti siasah yang ditegas lmam lbn Uqail tadi..”Mendekatkan dengan kebaikan dan menjauhkan dari kerosakan (Kemungkaran)”?

Kita perlu berani dan komited memurnikan amalan siasah yang kini sarat dengan seaneka kebejatan.

Ruang sempit ini, tidak mengizinkan saya menghuraikan budaya politik kita yang kian jelek. Secebis untuk disebut di sini ialah bagaimana demokrasi kini dirosakkan dengan seaneka ragam ketidakjujuran, kecurangan dan pengkhianatan kita dalam berorganisasi dan berpolitik.

Tegasnya rakyat semakin bosan dengan politik dan politikus.

Harus segera direncana dan diwacana oleh satu golongan pemegang taruh (stakeholders) yang sifatnya ‘dwi-partisan’ dan objektif, yakni golongan para cendiakawan serta ulama-inteligensia di negara ini.

Yang didambakan rakyat ialah pemurnian-pengislahan kembali amalan politik yang sihat dan demokrasi yang vibrant tanpa campur tangan atau diheret bersama, lantas turut dicemari institusi raja berperlembagaan.

Silakan..buat langkah-langkah pengislahan dengan jujur dan penuh amanah supaya natijahnya segera dihayati golongan politikus!

DR DZULKEFLY AHMAD ialah Pengarah Strategi Parti Amanah Negara (Amanah).

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/548666

COMMENTS