Kes bunuh rakyat kulit hitam Floyd, polis didapati bersalah

Kes bunuh rakyat kulit hitam Floyd, polis didapati bersalah

Bekas pegawai polis kulit putih Minneapolis, Derek Chauvin didapati bersalah atas tuduhan membunuh seorang lelaki kulit gelap, George Floyd.

Juri mengambil masa kurang daripada 11 jam sebelum memutuskan Chauvin, 45, bersalah atas pembunuhan tahap kedua dan tahap ketiga ke atas Floyd.

Orang ramai yang berkumpul di hadapan mahkamah Minneapolis bersorak gembira selepas keputusan itu diumumkan selepas perbicaraan yang mengambil masa selama tiga minggu.

Chauvin yang diikat jamin digari selepas Hakim daerah Hennepin, Peter Cahill membacakan keputusan sebulat suara hakim yang terdiri daripada tujuh wanita dan lima lelaki.

Chauvin berdepan penjara sehingga 40 tahun atas tuduhan paling serius iaitu pembunuhan tahap kedua.

Chauvin yang memakai topeng pelitup muka dan tidak menunjukkan sebarang emosi dikawal keluar oleh seorang wakil ketika salah seorang saudara lelaki Floyd, Philonise Floyd kelihatan memeluk pendakwa raya.

Hukuman akan dijatuhkan pada tarikh yang akan ditentukan kelak.

Chauvin yang merupakan pegawai polis selama 19 tahun dilihat meletakkan lututnya pada leher Floyd semalam lebih daripada 9 minit sambil tangan Floyd digari dan berulang kali menyebut “Saya tidak boleh bernafas,” selepas Chauvin dan tiga pegawai lain menahan Floyd yang dituduh menggunakan wang kertas AS$20 (RM82) palsu untuk membeli rokok di sebuah kedai runcit.

Kematian Floyd mencetuskan rusuhan besar-besaran di Amerika Syarikat tahun lalu.

Peguam keluarga Floyd, Ben Crump menyifatkan kemenangan itu sebagai kemenangan penting bagi hak-hak sivil dan menjadi batu loncatan kepada perundangan untuk melakukan reformasi kepada pasukan polis apabila berdepan dengan minoriti.

“Ini merupakan titik pusingan dalam sejarah bahawa mereka yang bersalah perlu dihadapkan ke muka pengadilan.

“Keadilan kepada golongan berkulit gelap di Amerika Syarikat ialah keadilan untuk semua warga negara ini,” kata Crump

Berita Penuh :https://www.kosmo.com.my/2021/04/21/polis-bunuh-floyd-didapati-bersalah/

COMMENTS