Kereta rentung disyaki kerana letupan mercun bola

Kereta rentung disyaki kerana letupan mercun bola

Polis tidak menolak kemungkinan kereta yang meletup menyebabkan seorang lelaki maut di Jalan Pintu Geng, Kampung Sireh di sini, akibat membawa mercun bola.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata, letupan itu menyebabkan mangsa yang maut tercampak sejauh 20 meter dari lokasi kejadian.

Bagaimanapun, katanya, identiti mangsa masih belum dapat dikenal pasti dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Keadaan kenderaan dalam kejadian letupan di Jalan Pintu Geng di Kampung Sireh, Kota Bharu hari ini. Foto Nik Abdullah Nik Omar

“Difahamkan, empat lagi mangsa yang berada dalam kenderaan berlainan kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan lanjut.

“Kejadian itu turut menyebabkan enam kenderaan terbakar termasuk kenderaan dipandu mangsa,” katanya.

Kejadian pada 5.38 petang itu menyebabkan kereta Proton Iswara dipandu mangsa rentung dan terputus dua.

Lima kenderaan lain yang berada berhampiran di lokasi kejadian turut terbakar susulan letupan berkenaan.

Difahamkan, sepasukan anggota bomba dan penyelamat yang berada di lokasi kejadian turut menemui serpihan mercun di lokasi berkenaan.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu ketika dihubungi berkata, seorang mangsa meninggal dunia dalam kejadian berkenaan.

“Ketika kejadian terdapat lima kenderaan di lokasi berhampiran yang turut terbakar.

“Cermin masjid berdekatan juga pecah akibat letupan kenderaan itu,” katanya.

Berita Penuh :https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/05/708562/kereta-meletup-bawa-mercun-bola

COMMENTS