Kerajaan PN sukar tumbang walaupun MP Umno tarik sokongan

Kerajaan PN sukar tumbang walaupun MP Umno tarik sokongan

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak akan tumbang dengan mudah walaupun kesemua ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bertindak menarik sokongan mereka terhadap kerajaan.

Pakar undang-undang daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar sebaliknya berkata, terdapat kaedah dan proses tertentu yang perlu dilakukan.

Menurutnya, sama ada tumbang atau tidak kerajaan PN bergantung kepada beberapa faktor yang perlu diperhalusi dan dipertimbangkan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

“Pertama sekali apakah maksud UMNO ‘tarik sokongan sepenuhnya’ dalam kerajaan? Kerajaan PN akan terus berkuasa selagi Perdana Menteri masih lagi berkuasa dan mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Pada Perhimpunan Agung UMNO 28 Mac lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid berkata, parti itu akan menentukan tarikh yang sesuai untuk menarik balik sokongan kepada kerajaan PN.

Ahmad Zahid yakin jika keputusan menarik sokongan itu dibuat, semua menteri, timbalan menteri dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sedia melepaskan jawatan masing-masing.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan turut menegaskan, UMNO memberi tempoh hingga Ogos ini untuk kerajaan PN membubarkan Parlimen. Jika tidak, katanya, seluruh ahli Parlimen UMNO akan menarik sokongan kepada PN.

Sejak Januari lalu, tiga ahli Parlimen UMNO menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN, manakala tiga ahli Parlimen pembangkang pula tampil memberikan sokongan setelah mereka keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Kata Khairil Azmin lagi, jika kesan UMNO ‘menarik sokongan sepenuhnya’ bererti Perdana Menteri tidak lagi mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat maka akan timbul persoalan, adakah ada ahli Dewan Rakyat lain yang mempunyai sokongan majoriti?

“Jika tiada, maka sewajarnya Perdana Menteri meneruskan tugas beliau.

“Malah, perkara yang perlu diambil kira sekarang ialah Parlimen digantung. Selagi dalam tempoh darurat, maka majoriti yang dimaksudkan itu tidak dapat dibuktikan di Dewan Rakyat,” katanya.

Khairil Azmin juga memberi peringatan bahawa pelantikan dan pemilihan Perdana Menteri bergantung kepada hemat Yang di-Pertuan Agong berdasarkan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, apabila pelantikan secara sah dibuat maka orang yang dilantik kekal sebagai Perdana Menteri hingga tamat tempoh Parlimen selagi beliau tidak meletakkan jawatan atau dilucutkan jawatan.

“Walaupun terdapat dakwaan yang mengatakan Perdana Menteri tidak dapat sokongan majoriti, ia perlu dibuktikan melalui cara ditetapkan perlembagaan.

“Perkara 43(2)(a) menyatakan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu.

“Memandangkan Parlimen tidak bersidang ketika darurat sekarang, maka kata putusnya di tangan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff senada dengan pandangan Khairil Azmin.

Kamarul Zaman berkata, faktor darurat sedang berkuat kuasa sekarang menjadikan sebarang tindakan penarikan diri menjadi tidak bermakna sehingga berakhir tempoh darurat pada Ogos nanti.

Beliau yakin jika Majlis Kerja Tertinggi UMNO membuat keputusan untuk menarik sepenuhnya sokongan kepada kerajaan PN, maka hanya sebahagian kecil ahli-ahli Parlimen UMNO akur dengan keputusan itu sekali gus menjadikan UMNO berpecah dua.

“Saya juga percaya jika kesemua ahli Parlimen UMNO menarik sepenuhnya sokongan mereka kepada kerajaan PN maka konfigurasi baharu akan berlaku dalam dunia politik tanah air yang menyaksikan ahli-ahli Parlimen yang berada di luar kerajaan PN sebelum ini akan menyertai kerajaan PN,” kata beliau.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/135189/BERITA/Politik/Kerajaan-PN-susah-nak-tumbang

COMMENTS