Kenyataan pemimpin Perancis itu melampau dan hanya memupuk Islamofobia – Salahuddin

Kenyataan pemimpin Perancis itu melampau dan hanya memupuk Islamofobia – Salahuddin

Amanah mengecam keras tindakan Presiden Perancis Emmanuel Macron, yang mendakwa orang Islam sebagai penganut fahaman pemisah dan menyifatkan Islam sebagai agama krisis di seluruh dunia.

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata, kenyataan pemimpin Perancis itu melampau dan hanya memupuk Islamofobia dalam kalangan masyarakat dan penganut agama lain.

“Dalam mendepani krisis Covid-19, sepatutnya beliau sebagai seorang presiden, menunjukkan keprihatinan terhadap semua masyarakat tanpa mengira agama yang dianuti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Macron berikrar akan berjuang untuk menentang kumpulan radikal Islam selepas tragedi seorang guru sejarah dipenggal pada 16 Oktober lalu kerana menunjukkan gambar Nabi Muhammad kepada pelajarnya.

Bagaimanapun, kenyataan pemimpin itu mengundang kritikan penduduk Islam seluruh dunia termasuk ada yang membakar gambar Macron di Syria dan Pakistan selain membakar bendera Perancis di Tripoli, Libya.

Terdahulu, Presiden PKR Anwar Ibrahim, turut menyifatkan kenyataan Macron sekadar mempromosikan agenda negatif terhadap agama Islam.

“Selagi mana beliau kekal buta tentang luas dan canggihnya Islam sebagai sebuah dunia yang mementingkan nilai dan cita-cita, maka kita akan gagal memajukan perjuangan menghadapi prasangka asas yang menimpa kedua belah pihak,” katanya menerusi satu surat terbuka kepada Macron.

Sementara itu, Salahuddin yang juga merupakan anggota parlimen Pulai menambah, kenyataan Macron juga bakal menyebabkan rakyat melakukan protes sejurus membahayakan ramai pihak pada saat wabak Covid-19 melanda negara.

“Tindakan Emmanuel adalah melampau dan hanya menimbulkan kekecohan seterusnya menjadi pencetus kepada rakyat atau masyarakat untuk protes di jalanan yang mana hanya membayakan ramai pihak ketika pandemik Covid-19 ini,” katanya lagi.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/548575

COMMENTS