Kenapa Melayu tidak sokong DAP? ini sebabnya….

Kenapa Melayu tidak sokong DAP? ini sebabnya….

Kenapa Melayu tidak sokong DAP? ini sebabnya….Perakuan 220 Ahli Parlimen mengenai calon pilihan mereka sebagai perdana menteri yang dipersembahkan kepada Istana Negara beberapa minggu lalu, masih menjadi perbualan sehingga sekarang.

Menurut banyak laporan, Ismail Sabri mendapat 114 undi sedangkan ketua pembangkang Anwar Ibrahim mendapat 105 undi. Berbagai spekulasi yang diutarakan termasuk telahan bahawa Ahli Parlimen membuat pilihan mereka atas faktor perkauman. Di satu pihak (Umno-Perikatan Nasional), majoriti Ahli Parlimen adalah Melayu dan di pihak kedua (Pakatan Harapan) jumlah wakil rakyatnya hampir sama rata antara Melayu dan bukan Melayu.

Antara kesimpulan dibuat ialah Anwar tidak diundi kerana dalam kumpulan beliau (PH) terdapat ramai Ahli Parlimen bukan Melayu. Menurut golongan wakil rakyat yang menolak presiden PKR itu, undi untuk Anwar sebagai PM akan membawa ‘risiko’ kuasa kerajaan akan berada di tangan bukan Melayu.

Saya benar-benar berharap Ahli Parlimen kita, tidak kira sebelah mana pun, tidak berfikir sedemikian kerana pandangan begitu amat merbahaya untuk sistem demokrasi negara dan rakyat sendiri.

Melayu

Tetapi sekiranya faktor ini menjadi pertimbangan dalam Ahli Parlimen memilih Perdana Menteri, nyatalah Malaysia dan sekaligus kumpulan PH yang mengandungi ramai Ahli Parlimen DAP (seramai 42 orang dan juga bukan Melayu dalam PKR) mempunyai masalah maha besar untuk bergerak di masa akan datang.

Faktor ini perlu ditangani oleh pihak PH (khususnya DAP) sendiri kerana ia akan menjuruskan lagi negara ke arah perkauman yang lebih kronik, dan sebelum ianya menjadi lebih serius, isu perkauman ini mesti ditangani dengan segera.

Soalannya ialah bagaimana caranya? Persoalan ini terkait rapat dengan isu yang dinyatakan diatas; Kenapa Melayu (termasuk Ahli Parlimen) tidak sokong DAP.

Tak kenal maka tak cinta

Ada pepatah Melayu yang sering kita dengar, ‘tak kenal maka tak cinta’. Ini membawa maksud ramai pengundi Melayu tidak begitu kenal dengan DAP, pemimpin parti, atau calon-calon dari DAP.

Mereka kurang pasti apakah intipati perjuangan DAP sebenarnya. Apa tujuan atau motif yang dibawa oleh ahli-ahli parti yang ramai dianggotai oleh kaum Cina dengan sedikit kaum India dan cuma segelintir saja ahli Melayu, Iban, atau Kadazan-Dusun-Murut (KDM) di dalamnya.

Parti yang rata-rata berpusat di kawasan bandar ini dikatakan banyak membawa isu-isu yang berkisar dengan pendidikan, pembelajaran, dan sumber kewangan sekolah jenis kebangsaan untuk kaum Cina sahaja. Lawan utama DAP ialah MCA. Dari perspektif kaum Melayu, parti ini berjuang untuk mewakili kaum Cina.

Sebagai contoh, bagaimanakah pemimpin DAP yang ramai berbangsa Cina dan sedikit kaum India dapat membantu penduduk Melayu di bandar yang majoritinya menginap di PPR?

Seperti yang diketahui, di kerusi-kerusi Parlimen dan DUN yang dimenangi DAP seperti Damansara, Puchong, Bangi, Kepong, Seputeh dan banyak lagi, rata-rata dimenangi wakil rakyat bukan Melayu. Faktor utama di sebalik kemenangan itu ialah bukan Melayu menjadi majoriti pengundi di kerusi-kerusi tersebut.

Pengundi Melayu di kawasan-kawasan itu golongan minoriti. Jadi fokus DAP dikatakan adalah kepada puak majoriti. Lagipun parti ini tidak mempunyai ramai ahli-ahli Melayu, apa lagi pemimpin-pemimpin tempatan yang berbangsa Melayu. Malah beberapa kerat yang ada di dalamnya kelihatan seperti dipinggirkan.

Apakah program-program parti ini yang tertumpu kepada sesuatu kaum sahaja dan tidak melibatkan masyarakat pengundi Melayu di bandar-bandar yang disebutkan tadi?

Berlainan dengan keadaan di Singapura, di mana PAP, yang mewakili semua kaum termasuk golongan Melayu, banyak melantik ahli-ahli Melayu sebagai pemimpin masyarakat setempat walaupun Melayu adalah minoriti. Perbandingan dalam kaedah dan program PAP dan DAP amat jauh berbeza, dari segi kepimpinan, kewibawaan, penguasaan Bahasa Melayu serta tata-susila politik dan sosial antara Lee Hsien Loong dan ketua DAP, misalnya.

Walaupun ramai yang berkata parti mereka itu asalnya dari rumpun yang sama tetapi sekarang amatlah berbeza sekali.

Contoh yang amat ketara ialah sewaktu PH menang pada pilihan raya yang lalu dan memerintah selama 22 bulan misalnya. Ramai menteri dari kalangan DAP yang dilantik ke dalam kerajaan termasuk Menteri Kewangan itu sendiri. Apakah langkah besar yang mereka buat? Cuma seperkara menonjol iaitu satu firma konsesi tol yang mempunyai beberapa jalan tol di sekitar Lembah Klang ingin menjual kembali konsesi tol mereka kepada kerajaan dengan harga yang tinggi.

Ramai yang terpinga-pinga dan bertanya, untuk apa semua itu dilakukan?

Pulau Pinang

Mari kita lihat negeri yang di tadbir oleh DAP, iaitu Pulau Pinang.

Ramai yang berpendapat bahawa tumpuan utama kerajaan yang dipimpin oleh DAP di sana terkait dengan projek yang kononnya dipanggil pembangunan terowong bawah tanah dan tiga pulau selatan atau Penang South Reclamation (PSR).

Konsesi untuk memajukan terowong dan tiga pulau ini dikatakan ada kaitan dengan firma yang sanggup menjual kembali konsesi jalan tol mereka kepada kerajaan pusat tadi.

Akhirnya, isu ini dikatakan menjadi salah satu sebab utama kenapa kerajaan PH ditumbangkan oleh segolongan ahli-ahli politik Melayu dan bukan Melayu, yang tidak mahu memihak kepada rancangan perniagaan DAP.

Dari sini, timbul persepsi merentasi kaum di Pulau Pinang bahawa kerajaan DAP di Pulau Pinang tidak telus. Mereka dianggap mempunyai keutamaan lain sehingga dan kurang perihatin dengan masalah orang ramai di Pulau Pinang, termasuk kaum Melayu setempat yang akan terjejas dengan projek PSR.

BACA: Ini cara hukuman mati paling kejam pernah dijalankan sepanjang zaman

Tentangan dari nelayan

Secara kebetulan pula kaum nelayan yang bergerak bersama Penang Forum (NGO berbagai kaum) yang menentang projek PSR di Pulau Pinang ini ramai dari kalangan Melayu, yang juga tergolong dalam kumpulan berpendapatan rendah. Tentangan sebenar terhadap reklamasi pulau selatan (PSR) ini datangnya dari banyak NGO berbagai kaum yang tidak senang dengan kerosakan yang akan melanda alam sekitar. Puak nelayan cuma sebahagian kecil tapi penting.

Juga asas tambakan yang akan menggunakan pasir-pasir yang akan dikorek dan diangkut dari negeri Perak, juga melibatkan kerosakan alam sekitar di sana. Jelas, projek PSR itu dikatakan bukan sahaja merosakkan alam sekitar di Pulau Mutiara dan Perak, tetapi juga merosakkan imej DAP di dua negeri itu.

Isu berikutnya yang menjadikan DAP tidak popular berkisar kepada kelewatan projek. Dalam politik, isu-isu besar biasanya silih berganti, menjadikan ramai pengundi lupa dan terpesong dengan isu-isu baru. Tetapi kelewatan mencecah lapan tahun menjadikan isu terowong dasar laut dan projek PSR itu kekal, nyata tidak berlalu, dan tidak pernah reda dari perhatian media.

Projek yang tidak siap-siap, tidak mendatangkan hasil ekonomi kepada penduduk setempat. Apa lagi bagi menyempurnakan permintaan pengangkutan awam yang sekarang ternyata telah gagal. Ia memberi gambaran bahawa kerajaan DAP terpesong jauh dari tujuan asal dan tidak lagi mendapat keyakinan dari rakyat Pulau Pinang itu sendiri.

Kesilapan demi kesilapan telah berlaku dalam menangani projek gergasi yang hilang arah, objektif, dan matlamat asal iaitu memberi pengangkutan awam yang terbaik untuk semua penduduk.

Akhirnya pengundi melihat kerajaan yang dipimpin oleh DAP itu tidak cekap, tidak membantu penduduk setempat, gagal melaksanakan program pembangunan yang mereka sendiri rancang dan tidak terhasil apa-apa dari perbelanjaan yang dikeluarkan.

BACA: Gelaran Datuk Sri Sanjeevan ditarik balik serta-merta

Yang melihat ini semua bukan sahaja pengundi Melayu tetapi pengundi Cina dan India juga. Jadi bagaimana pengundi Melayu harus menilai pencapaian yang dicanang oleh pemimpin DAP tadi?

Tambah lagi dengan keadaan sekarang, dalam keadaan politik yang bercelaru, senang saja pemimpin parti lain ‘menangguk di air yang sudah keruh’ itu. Ahli PAS, contohnya, dengan lantang meminta kerajaan negeri membatalkan rancangan terowong dan PSR. Sebelum ini mereka pernah tidak bersuara. Mereka tidak jujur dan hanya mahu meraih sokongan sampingan.

Hilang keyakinan

Tujuan asal DAP untuk mendekati dan mendapat sokongan dari pengundi Melayu tidak tercapai oleh kerana strategi politik mereka banyak yang tersilap, hilang fokus, dan tidak menitik berat isu kemiskinan, serta berlandaskan perancangan yang tidak teratur dan tidak dapat dilaksanakan.

Apa lagi apabila pengundi Melayu yang terkesan dan tertekan dari perancangan PSR mereka.

Seperti juga kaum-kaum lain, simpati sesama kaum terhadap ketidakadilan, tekanan, dan kehinaan amat tebal dan merentasi sempadan negeri. Apa yang berlaku di Pulau Pinang memberi kesan simpati yang sama di Sarawak atau Terengganu, misalnya, terutama kepada kaum yang sama. Melalui persepsi, jelas mereka menolak parti yang terlibat.

Di sinilah letaknya kesilapan DAP yang memanjang itu. Lapan tahun berjuang untuk isu sama yang hanya menimbulkan prasangka, keresahan, dan rasa tidak puas hati masyarakat Melayu.

Kepercayaan adalah sesuatu yang amat dalam. Permulaannya ialah dari keyakinan. Pengundi Melayu di seluruh negara dapat melihat dan mempunyai persepsi tidak yakin dengan tindak tanduk pemimpin DAP.

BACA: 5 Barang Hotel Yang anda Boleh rembat Bawa Balik

Jadi bagaimana mereka mahu mempercayainya? Apa lagi untuk memberi sokongan?

Justeru, DAP sekarang merasa perlu untuk bekerjasama dengan kerajaan semasa dengan menandatangani Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik (MoU-TPS) di Parlimen dua hari lepas.

Mungkin ini titik permulaan untuk parti ini menilai kembali pendekatannya dalam menguruskan isu-isu kepentingan awam, khususnya yang melibatkan golongan miskin dan tertindas, yang terdiri dari berbagai kaum termasuk kaum Melayu juga, sama ada di bandar atau di desa.

Mereka harus lebih cekap dalam menangani kebimbangan rakyat, khususnya tentang isu yang melibatkan periuk nasi golongan miskin, agar tidak dilihat angkuh, tidak peduli, dan ‘terlebih pandai’.

Lihat kembali kepada PAP, bagaimana kaum Melayu di sana mendapat peluang sama rata dan berdiri sama rendah dengan kaum-kaum lain. Bagaimana negara itu berjaya membangunkan barisan pemimpin Melayu yang berintegriti serta diterima oleh semua lapisan masyarakat dalam negara itu.

Mereka juga mampu meleraikan persepsi yang parti itu hanya mementingkan warna kulit dan memilih bulu tertentu sahaja, secara berkesan.

Selamat Hari Malaysia, Malaysians.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2021/09/16/kenapa-melayu-tidak-sokong-dap/

COMMENTS