Kelantan masih ikut SOP lama, kedai makan setakat pukul 10 malam

Kelantan masih ikut SOP lama, kedai makan setakat pukul 10 malam

Kelantan masih belum membenarkan premis makanan beroperasi sehingga jam 12 tengah malam sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) meskipun ia dibenarkan di peringkat pusat.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin berkata, SOP sedia ada yang hanya membenarkan premis makanan beroperasi sehingga jam 10 malam termasuk beberapa perkara lain masih dikuatkuasakan.

Menurutnya, penyelarasan SOP di peringkat pusat dengan negeri akan dibincangkan menerusi Mesyuarat Teknikal yang akan diadakan pada Ahad ini di pejabatnya.

“Sehingga suatu pengumuman baharu dibuat, SOP sedia ada sepanjang PKP masih berkuatkuasa termasuk hanya membenarkan dua orang sahaja untuk satu meja dengan penjarakan fizikal satu meter.

“Kita akan cuba menyamakan dengan SOP Majlis Keselamatan Negara peringkat pusat dengan mengambil kira keselamatan rakyat serta ekonomi,” katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Dr Izani berkata, SOP berkaitan kenduri kahwin juga akan turut dibincangkan pada mesyuarat tersebut dengan mengambil penilaian kebolehjangkitan Covid-19 serta kepatuhan rakyat.

Tambahnya, penganjuran majlis kenduri dan rentas negeri antara salah faktor berlakunya penularan Covid-19 dalam kalangan komuniti.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak yang terlibat termasuk masyarakat untuk bersabar dan mematuhi SOP sedia ada sebelum kerajaan membuat pembaharuan lain.

Katanya, orang ramai juga diingatkan untuk terus menjaga keselamatan diri bagi bersama-sama mengekang penularan Covid-19.

Berita penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/124715/BERITA/Nasional/Kelantan-masih-kekal-SOP-lama-premis-makanan

COMMENTS